Dr. Dzulkefly Ahmad ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.- Foto: Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama antara lainnya adalah memberi kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.
Menurut Utusan Malaysia, pindaan yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini merupakan sebahagian daripada Fasal 4 dalam RUU berkenaan yang secara umum bertujuan meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50).
Ia adalah bagi menambah baik peruntukan mengenai pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar serta bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.
Fasal 4 juga bertujuan memberi kuasa kepada MMC untuk melantik mana-mana pengamal perubatan berdaftar bagi mewakili majlis dalam apa-apa jawatankuasa, panel atau institusi yang orang itu kemudiannya membuat syor kepada majlis mengenai semua perkara berhubungan dengan kelayakan pegawai perubatan atau pengawalseliaan amalan perubatan.
RUU itu dibentangkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk bacaan kali pertama hari ini, di mana satu lagi perkara yang dibentang adalah membabitkan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 juga untuk bacaan kali pertama.
Dzulkefly berkata, bacaan kali kedua dan ketiga untuk kedua-dua RUU itu akan dibuat pada sesi persidangan kali ini.
Selain Fasal 4, RUU Perubatan (Pindaan) 2004 turut membabitkan Fasal 5 yang bertujuan meminda perenggan 14(2a)(a) yang memperuntukkan mana-mana orang boleh berdaftar penuh di bawah Seksyen 14 berkaitan orang yang berhak didaftarkan penuh, sekiranya berhasrat untuk mengajar, melakukan penyelidikan atau mengikuti kursus lepasan ijazah dalam bidang kepakaran di bawah apa-apa program latihan di mana-mana institusi seperti ditentukan majlis.
Fasal 6 pula bertujuan menggantikan Seksyen 14b bagi mengadakan syarat untuk pengamal perubatan berdaftar sebagai pakar, selain memperuntukkan latihan kepakaran sebagai suatu kehendak untuk berhak didaftarkan sebagai pakar.
Fasal 10 bertujuan memasukkan Jadual baharu Keempat dan Kelima dalam Akta 50 yang menyenaraikan kelulusan kepakaran yang boleh didaftarkan dan untuk mengadakan senarai subkepakaran.
Isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau laluan selari (parallel pathway) mencuri tumpuan iaitu mengenai pengiktirafan latihan kepakaran yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia juga berkaitan isu pendaftaran pegawai perubatan yang menamatkan latihan kepakaran dalam Daftar Pakar (NSR) di bawah MMC, yang mana kedua-dua isu ini telah dibawa dalam mesyuarat bersama KKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lalu bagi mencari penyelesaian.
Dzulkefly turut mengumumkan bahawa Akta Perubatan 1971 akan dipinda bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran laluan selari.




























