Saiful Lizan Ibrahim (empat kanan) dalam Program Kembara Sahabat Maritim di SK Terusan Baru, Pulau Timbang di Sandakan, Sabah semalam
SANDAKAN: Sebanyak 37 kes tangkapan yang melibatkan rampasan kira-kira RM1.2 juta direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Sandakan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, jumlah tangkapan itu hampir sama dengan jumlah kes tangkapan pada 2022, iaitu sebanyak 47 kes dengan nilai rampasan lebih RM86,000.
Pada tahun lalu, sebanyak 42 kes tangkapan direkodkan di Sandakan dengan nilai rampasan melebihi RM270,000.
“Kes tangkapan ini membuktikan bahawa Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Sandakan serius dalam membanteras aktiviti jenayah dan salah laku di laut terutama di perairan Sandakan,” katanya selepas Majlis Perasmian Program Kembara Sahabat Maritim 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan Baru, Pulau Timbang, di sini semalam.
Menurut Saiful, kejayaan tangkapan ini turut dibantu oleh maklumat yang disalurkan oleh orang ramai, khususnya komuniti maritim seperti nelayan yang mengetahui setiap gerak geri serta aktiviti yang berlaku di perairan negara.
Justeru, beliau berharap komuniti maritim terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Maritim Malaysia agar aktiviti salah laku dan jenayah di laut dapat dibendung.
Beliau juga berharap program bersama komuniti seperti Sahabat Maritim dapat dilaksanakan secara berkala agar kerjasama dan persefahaman antara Maritim dan komuniti maritim diperkukuhkan lagi.
































