Dr. Joachim (duduk) bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri pada dasarnya telah bersetuju untuk Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya yang pertama di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, walau bagaimanapun, pihak MPS masih perlu memenuhi dua daripada 11 kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan pengiktirafan bandaraya iaitu kriteria kedua, jumlah penduduk dan juga kriteria ketiga iaitu hasil tahunan.
Katanya, bagi mencapai matlamat tersebut, pihak Majlis sudah merangka perancangan melalui Pelan Strategik Majlis Perbandaran Sandakan yang dijangka akan dilancarkan dalam tahun ini.
“Berdasarkan kepada Pelan Strategik tersebut, Pihak Majlis Perbandaran Sandakan telah menetapkan sasaran untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Sandakan ke Majlis Bandaraya sebelum atau pada tahun 2030,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mokran Ingkat (Sungai Manila) bertanya adakah Kerajaan merancang untuk menjadikan Bandar Sandakan sebagai sebuah bandaraya.
Dr. Joachim berkata, MPS telah merangka beberapa inisiatif bagi mencapai kriteria ketiga, iaitu memperolehi kutipan hasil melebihi RM100 juta yang telah disenarai dalam Pelan Strategik MPS, untuk mendapatkan pengiktirafan Bandaraya seperti berikut:
1. Menguatkuasakan sepenuhnya kesemua unifom by-law bagi mengoptimumkan kutipan hasil;
2. Melaksanakan kadar penilaian baharu yang akan diwartakan SEPENUHNYA pada tahun 2025;
3. Melaksanakan penyemakan semula kadar sewa harta majlis berdasarkan seunit kaki persegi atau setara dengan nilai pasaran semasa; dan
4. Memperkasa usaha mengutip semula tunggakan hasil yang berjumlah melebihi RM 40 juta.
Katanya, bagi kriteria kedua iaitu mempunyai jumlah penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang, MPS pada ketika ini sedang mempergiat pelbagai usaha perancangan bagi memastikan daerah Sandakan sentiasa menjadi destinasi pelaburan strategik yang sekaligus meningkatkan peluang pekerjaan serta mempelbagaikan potensi bidang ekonomi.
“Bagi mencapai tujuan ini, salah satu perancangan MPS adalah dengan merancakkan industri pelancongan melalui inisiatif Pelan Tindakan Pelancongan Sandakan 2020-2030.
“Selain itu, pihak MPS sedang dalam usaha untuk memperolehi pelbagai pengiktirafan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa bagi memastikan daerah Sandakan sentiasa menjadi sorotan positif pelbagai pihak.”
Jelasnya, antara yang telah dicapai dan dalam perancangan adalah:
1. ASEAN Clean Tourist City Standards 2024-2026 peringkat kebangsaan (telah dicapai pada bulan April 2024 melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia); dan
2. Voluntary Local Review dan SDG (Sustainable Development Goals) Roadmap Majlis Perbandaran Sandakan (kerjasama dengan Urbanice Malaysia) yang akan siap pada tahun 2025 dan dibentangkan di New York, Amerika Syarikat semasa High Level Political Forum 2025)
Dr. Joachim berkata, Majlis optimis dengan kedudukan ekonomi yang kukuh serta pengiktirafan pelbagai peringkat, pastinya dapat meletakkan Sandakan sebagai salah sebuah bandar yang bertaraf global dan berdaya huni selaras aspirasi sebuah bandar raya.
Terdahulu, beliau menjelaskan, terdapat 11 kriteria yang perlu dicapai oleh mana-mana Majlis Perbandaran untuk dinaik taraf kepada Dewan Bandaraya atau Majlis Bandaraya, iaitu;
1. PBT itu harus meliputi kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri;
2. Mempunyai penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang;
3. Hasil tahunan RM100 juta ke atas;
4. Perkhidmatan dan struktur organisasi yang yang mantap;
5. Perancangan mengambilkira (sustainable development goals);
6. Imej bandar selaras tema dan budaya;
7. Pusat tumpuan ekonomi pelbagai bidang;
8. Pusat institusi Pendidikan tinggi;
9. Pusat kebudayaan dan konvensyen antarabangsa;
10.Kemudahan infrastruktur yang lengkap; dan
11.Mendapat pengiktirafan kebangsaan atau antarabanga.
































