Christina Liew
KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Utama Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah mengesahkan pelantikan ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi Biro Politik (BiroPol) Negeri 2024-2025.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, pelantikan tersebut adalah untuk terus memperkukuhkan serta melancarkan gerak kerja organisasi KEADILAN Sabah.
“Keputusan ini selaras dengan keputusan mengekalkan kepimpinan Datuk Christina Liew untuk terus menerajui kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah sebagai Pengerusi HARAPAN Negeri.
“Perlantikan ini adalah proses untuk melengkapkan struktur organisasi parti yang melibatkan secara seimbang dan menyeluruh dari kalangan wakil cabang dari pelbagai kaum dan agama.
“Ini menunjukkan KEADILAN kini telah pun bersedia menghadapi pilihanraya negeri yang akan diadakan pada bila-bila masa dengan barisan kepimpinan yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis Pimpinan juga merakamkan rasa dukacita atas musibah bencana banjir yang melanda beberapa kawasan terutama Penampang, Putatan dan Sepanggar.
Mustapha berkata, jentera parti telah digerakkan untuk membantu dan memberi sumbangan mengikut keperluan.
































