PENAMPANG: Bencana banjir yang melanda kawasan Penampang pada 30 Jun telah menjejaskan banyak kawasan termasuklah penduduk di Kampung Tunoh, Hungab, Koidupan, Pekan Donggongon, Taman Sahabat dan kampung-kampung di di Kapayan.
Banyak kawasan yang terjejas masih dalam proses pembersihan sehingga ke hari kelima ini.
ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, bencana banjir di Penampang kali ini amat teruk dan mengakibatkan kerosakan serius terutama barang-barang rumah, kereta dan juga ada satu nyawa yang telah terkorban semasa membantu orang lain.
“Seiring dengan usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang, saya telah mewujudkan Pasukan Bencana Kapayan yang diselaraskan oleh Pejabat ADUN Kapayan, Pejabat UPPM Kapayan serta JKKK Kapayan yang turun membantu mangsa banjir. Saya sendiri telah datang melawat dan melihat keadaan rumah serta kawasan Donggongon yang terjejas dan banyak barangan, dokumen penting dan kereta memang tidak dapat diselamatkan.
“Saya juga telah meyalurkan dana bencana kepada Pejabat Daerah sebanyak RM20,000, menyumbang sebanyak RM50,000 lagi untuk penyediaan makanan di Dapur Bencana dan untuk bakul makanan ke kawasan Moyog dan Kapayan.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Hinompuka Cafe atas bantuan dari segi tenaga dan penggunaan tempat sebagai Dapur Bencana kami, di mana mereka memasak kira-kira 10,000 pek makanan dari 1 – 4 Julai untuk dihantar kepada mangsa banjir kerana ramai mangsa-mangsa tersebut tidak pergi ke Pusat Pemindahan Sementara. Hinompuka Cafe juga memberi ruang untuk penyimpanan barangan makanan, pembersihan dan sumbangan yang diberikan. Komitmen dan kerjasama mereka telah memastikan proses penghantaran bantuan kepada tempat terjejas”
“Broom Army (BA) juga telah diaktifkan untuk membantu membersih sekolah, tempat awam dan rumah OKU dan warga emas. Saya terharu dengan komitmen sukarelawan yang telah datang sejauh Pitas dan Tenom untuk membantu BA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sumbangan-sumbangan yang telah dihulurkan dari 30 Jun sehingga hari ini daripada Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Steven Sim Chee Keong melalui HRD Corp dan PERKESO, Datuk Chan Foong Hin, Kembara Kitchen, Senator Noorita Sual, JETAMA, KTC, Persatuan Penganut TAO, St John Ambulance, Sabah Women LEAD, Keningau Cleaning Service dan ramai lagi individu serta sukarelawan atas sumbangan kewangan, barangan dan tenaga yang telah diberikan sangat membantu mangsa banjir di kawasan ini.
“Pasukan Bencana Kapayan dan sukarelawan akan meneruskan khidmat bantuan dari segi tenaga membersih rumah, balai raya atau sekolah yang memerlukan bantuan pembersihan. Saya juga akan terus salurkan mana-mana bantuan kepada mangsa banjir Penampang dan memberi khidmat untuk mengisi borang NADMA bagi mereka yang memohon bantuan tersebut.
“Saya amat hargai keprihatinan Ketua Menteri dan segala usaha Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang yang teratur. Saya akan terus berusaha melalui Kerajaan Negeri serta pihak swasta untuk mencari penyelesaian banjir yang selalu melanda kawasan Penampang,” kata Jannie.






























