Zambry Abdul Kadir
KUALA LUMPUR: Sebanyak 244 individu yang berusia antara 18 tahun hingga 25 tahun dijangkiti penyakit HIV pada 2023.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, sejak 2022 hingga Jun lalu, sebanyak 77 program advokasi, kesedaran atau pencegahan penyakit HIV dilaksanakan melibatkan 22,905 mahasiswa di Universiti Awam (UA).
Menurut beliau, jumlah pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dijangkiti HIV adalah antara 6.7 hingga 7.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan mahasiswa, termasuk isu-isu melibatkan masalah kesihatan dan jangkitan penyakit.
“Atas dasar keprihatinan ini dan mengambil kira faktor julat usia mahasiswa tergolong dalam kategori kumpulan berisiko, KPT menerusi UA cenderung merancang dan melaksanakan pelbagai program memupuk budaya hidup sihat serta khusus menfokuskan kepada program berbentuk advokasi, kesedaran mahupun pencegahan berkaitan penyakit HIV,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang mahu dinyatakan secara terperinci pelajar IPTA atau IPTS yang menghidap penyakit HIV dari tahun 2020 hingga sekarang.
Berdasarkan notifikasi jangkitan kes yang dilaporkan ke Kementerian Kesihatan (KKM), bilangan pelajar IPTA atau IPTS yang berumur antara 18 hingga 25 tahun yang dijangkiti HIV adalah seramai 214 orang pada tahun 2020, diikuti seramai 186 orang pada tahun 2021 dan 221 orang pada tahun 2022.






























