Armizan Mohd Ali
KUALA LUMPUR: Kadar baharu amaun had tuntutan pengguna terhadap pembekal atau pengilang merupakan antara komponen utama dalam pertimbangan untuk menambah baik undang-undang bercirikan ‘Lemon Law’.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Akta 599 Seksyen 98 (1) ketika ini menetapkan kadarnya pada RM50,000 sahaja.
“Melalui laporan awal kementerian dalam menambah baik undang-undang Lemon Law, had bidang kuas termasuk nilai had RM50,000 merupakan salah satu dari empat komponen utama isu berbangkit yang perlu ditambah baik.
“Saya amat bersetuju bahawa melihat realiti dan tuntutan semasa nilai had amaun tersebut adalah perkara perlu diperkukuh dan ditambah baik,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung respon supaya kerajaan menaikkan had tuntutan pengguna kepada RM150,000.
Terdahulu, Armizan berkata, Kajian Pewujudan Perundangan berkaitan Lemon Law bersama kumpulan perunding pakar sedang dijalankan dan bermula pada Jun lepas serta dijangka selesai September ini.
“Hasil kajian ini dijadikan asas pertimbangan untuk membuat keputusan dasar sama ada perlu membuat penambahbaikan terhadap kerangka perundangan sedia ada atau memerlukan kepada penggubalan perundangan baharu.
“Sebagai usaha berterusan, kementerian akan terus melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dalam usaha ini.
“Ini termasuk penganjuran Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 yang diadakan pada 4 Jun lalu bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh berhubung cadangan pengukuhan perundangan Lemon Law di Malaysia.
“Bersandarkan kepada simposium tersebut, didapati semua pihak termasuk industri memberi respon positif untuk memperkukuh perlindungan hak kepenggunaan melalui Lemon Law sekali gus membantu perkembangan industri automotif negara,” katanya.






























