KOTA KINABALU: Sebanyak 34,652 buah kenderaan telah diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sepanjang 20 hari Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) diadakan yang berakhir pada 30 Jun.
Pengarah JPJ Sabah, Haji Mohd Harris Ali berkata, hasil Operasi Khas HRAA, JPJ Sabah telah mengeluarkan sebanyak 7,988 keping notis saman kepada 3,865 kenderaan atas pelbagai kesalahan gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 serta Kaedah-Kaedah di bawah Pengangkutan Jalan.
Katanya, sebanyak 156 buah kenderaan telah disita manakala kesalahan tertinggi yang dicatatkan sepanjang 20 hari Operasi Khas HRAA adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) iaitu sebanyak 2,579 dan kesalahan kedua tertinggi adalah Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh dengan jumlah 1,668, diikuti dengan kesalahan tiada Insuran dengan jumlah 1,199.
“Pemeriksaan terhadap 2,439 kenderaan perkhidmatan awam (KPA). JPJ Sabah telah mengeluarkan 120 notis saman atas pelbagai kesalahan.
“Hasil penyamaran penumpang terhadap bas ekspres yang beroperasi sepanjang tempoh Operasi Khas HRA sebanyak lima notis saman telah dikeluarkan yang melibatkan kesalahan memotong di garisan berkembar, menurunkan dan mengambil penumpang di tempat tidak dibenarkan dan tata kelakuan pemandu (merokok),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JPJ Sabah akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.






























