Jahid menyantuni mangsa banjir di PPS Dewan Muhibbah Kg. Bontoi, Tamparuli.
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa bencana alam di Dewan Muhibbah Kampung Bontoi, di sini, kelmarin.
Kehadiran Jahid bersama rombongan disambut para anggota keselamatan yang ditugaskan menjaga kawasan tersebut.
Menurut Jahid, keadaan hujan berterusan sejak dua hari lepas telah menjejaskan beberapa buah kampung di Tamparuli, sehingga terdapat mangsa yang terpaksa dipindahkan buat sementara waktu.
Keseluruhan mangsa yang ditempatkan di dewan itu adalah seramai 18 orang daripada lima keluarga.
Sebelum itu, Jahid turut melawat jambatan Kampung Bawang yang menjadi laluan sebanyak tujuh buah kampung iaitu Kg. Bawang, Kg. Kiwoi, Kg. Togop, Kg. Lingga, Kg. Bambangan Lama, Kg. Namadan, dan Kg. Rangalau Lama.
Sebanyak empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, SK Togop, SK Lingga dan SK Rangalau Lama turut menggunakan laluan tersebut.
“Saya telah mendengar keluhan penduduk di Kampung Bawang dan kita telah meminta agar proses pembaikan jambatan ini disegerakan,” katanya.
Jahid turut berpesan kepada semua mangsa dan mana-mana yang terlibat untuk sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar.





























