Hajiji melancarkan PTPS di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah apabila menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini di bawah satu portal dikenali Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor melancarkan portal itu di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, portal itu adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini.
Katanya, gabungan itu terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi pemberi bantuan dalam pendidikan iaitu Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
Pembangunan portal yang bersepadu itu merupakan pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan-badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan.
“Portal ini akan menjadi platfom rasmi kepada pelajar untuk memohon tajaan pendidikan di negeri ini. Sebelum ini, semua penaja mengendalikan proses tajaan secara berasingan melalui laman web masing-masing. Namun, melalui portal ini permohonan akan digabungkan dan diintegrasikan di dalam satu portal.
“Justeru pelancaran portal ini memberi impak yang sangat positif kerana memudahkan pelajar untuk memohon tajaan dan bantuan pendidikan yang bersesuaian dengan kursus atau tempat
pengajian.
“Selain itu, ia dapat memastikan bantuan diberikan secara efisien dan berkesan serta mengatasi pertindihan penajaan dengan memberikan peluang yang adil kepada pelajar serta menambah lagi bilangan pelajar yang mendapat bantuan kewangan dan seterusnya menyokong pembangunan modal insan negeri secara efektif,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap anak-anak Sabah yang tidak mempunyai tajaan dengan mengambil inisiatif mengadakan program Roadshow diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri selaku Exco Pendidikan Sabah bersama badan-badan penaja dan pemberi bantuan pendidikan di Sabah terdiri daripada JPAN, YS, MUIS, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
Menurutnya, program itu bertujuan menyantuni dan mengenalpasti pelajar-pelajar Sabah yang tidak mempunyai tajaan dan mendengar suara mereka mengenai isu dan hal ehwal di universiti.
Beliau berkata. program itu yang berlangsung dari bulan April hingga Jun lalu telah mengenalpasti seramai 2,130 pelajar Sabah untuk diberikan tajaan setelah menyantuni pelajarpelajar Sabah di 26 universiti awam induk dan cawangan, melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Hajiji berharap lebih banyak syarikat korporat terus membantu bagi memperkasakan dana sumbangan pendidikan Sabah.
Beliau juga mahu semua Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil sama-sama memainkan peranan menghebahkan maklumat tentang hala tuju pembangunan modal insan melalui PTPS.
“Ini bertujuan bagi memastikan pelajar-pelajar luar bandar tidak tercicir dalam pembangunan modal insan selaras dengan inisiatif SMJ. Kerajaan Negeri Sabah akan terus menyokong dan komited dalam memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini,” katanya.


































