Lebuhraya Pan Borneo Sabah
PUTATAN: Perebutan dalam kalangan kontraktor bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, terdapat banyak faktor lain yang perlu diambil kira dalam pembinaan projek lebuh raya tersebut.
“Kita tidak lihat kelewatan itu hanya disebabkan satu faktor tapi, perlu lihat satu demi satu kes. Biarpun ada kebenarannya berlaku perebutan kontraktor tapi, sebenarnya lebih kepada faktor lain seperti penamatan kontrak rakan kerjasama projek (PDP), pengambilalihan tanah dan pemindahan utiliti.
“Orang selalu bandingkan pelaksanaan LPB Sabah dan Sarawak tetapi di Sarawak, ia mula dilaksana pada 2015 dan hanya melibatkan 11 pakej kerja bersaiz besar. Di Sabah pula, pelaksanaan LPB bermula pada 2016 melibatkan 35 pakej.
“Kita mempunyai banyak pakej berbanding Sarawak kerana pada waktu itu, kita bukan sahaja menginginkan projek lebuh raya ini tapi, kita mahu mengambil peluang untuk memberi peluang kepada kontraktor tempatan,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyampaian sumbangan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Parlimen Putatan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyatakan perebutan dalam kalangan kontraktor untuk mendapatkan tender menjadi punca kelewatan pembinaan projek LPB di Sabah.
Menteri Kerja Raya Negeri yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, proses mengambil alih tanah di Sabah juga mengambil masa yang lebih lama kerana pembinaan projek itu melibatkan koridor yang lebih lebar.
Menurut beliau, Sarawak juga berjaya mendapatkan terbitan sukuk dalam pelaksanaan projek LPB namun, Sabah terlepas untuk mendapatkan terbitan sukuk kerana perubahan kerajaan pada 2018.
Jelas beliau, itu antara punca menyebabkan prestasi pelaksanaan LBP Sabah dan Sarawak berbeza.
Fasa satu projek LPB Sabah yang melibatkan 15 pakej kerja dijadual siap sepenuhnya menjelang Januari 2025.
Pelaksanaan projek LPB Sabah bermula pada Julai 2016 melibatkan 35 pakej kerja sepanjang 706 kilometer bermula dari sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin hingga ke Tawau.


































