Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mencadangkan Presiden UMNO menukar Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan pemimpin lain.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan pemimpin dan ahli-ahli keluar UMNO sebenarnya adalah satu mesej yang sangat jelas bahawa mereka telah menolak kepimpinan Bung.
“Oleh sebab itu saya secara konsisten mencadangkan agar Presiden UMNO segera menukar Bung dan menggantikannya dengan pemimpin lain.
“Corak pimpinan kasar Bung juga menyebabkan ahli-ahli UMNO semakin tawar hati dengan UMNO malahan dengan izin Allah jangkaan saya UMNO Sabah berkemungkinan akan kekal sebagai parti pembangkang selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkarnain berkata, Bung dilihat seolah-olah cuba menjadikan parti UMNO Sabah sebagai Syarikat Sdn. Bhd. miliknya.
“Walaupun kenyataan ini mungkin sukar diterima oleh pimpinan UMNO pro kepada Bung namun ini adalah hakikat sebenar yang terpaksa diterjemahkan untuk memberikan kesedaran kepada seluruh ahli-ahli UMNO di Sabah,” katanya.
Mengulas mengenai amaran Bung kepada UMNO Tuaran selepas menjemput Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hadir pada perasmian mesyuarat UMNO bahagian baru-baru ini, beliau berkata, ia adalah satu keputusan dan tindakan yang tepat.
Katanya, teguran Bung sebenarnya dilihat jelas menunjukkan Bung sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri.
“Ini juga sebenarnya adalah petanda UMNO di Sabah telah berpecah kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan pro kepada Shafie dan pro kepada Hajiji walaupun perkara ini cuba dinafikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebagai salah seorang bekas aktivitis akar umbi UMNO, sejak sekian lama saya berpendirian Bung adalah liabiliti sebenar sehingga UMNO Sabah dilihat semakin hari semakin melemah.
“Sebagai contoh sikap Bung mendahului Ahli Majlis Tertinggi UMNO didalam membuat keputusan mahu bekerjasama dengan Parti Warisan bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN-17 di Sabah.
“Langkah kudeta bersama Parti Warisan tenpoh hari malahan banyak lagi tindakan yang dibuat oleh Bung secara jelas menunjukkan UMNO kini diketuai oleh orang yang salah.
“Kedegilan Bung Moktar bekerjasama dengan Parti Warisan walaupun seringkali diingatkan oleh Presiden UMNO tidak akan ada bekerjasama dengan mana-mana parti sehingga PRN akan datang menunjukkan sikap angkuh Bung.
“Bung seharusnya bermuhasabah kenapa ramai pemimpin dan ahli-ahli UMNO meninggalkan UMNO Sabah ketika ini,” katanya.


































