PETALING JAYA: Polis menahan seorang seorang wanita kurang upaya (OKU) kerana membiarkan anak perempuannya duduk di tingkap kereta dalam kejadian di Kajang, dekat sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abd. Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 11.15 pagi semalam.
“Laporan itu dibuat berhubung video tular berdurasi 28 saat yang dimuat naik oleh pemilik satu akaun TikTok.
“Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Suadamai Bandar Tun Hussein Onn pada 1.15 petang pada 21 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nazron berkata, video itu menunjukkan tindakan berbahaya seorang kanak-kanak perempuan yang duduk di tingkap terbuka di sebelah pintu hadapan kiri pemandu sebuah kenderaan.
Jelasnya, bertindak atas maklumat diperoleh seorang wanita berusia 46 tahun yang juga ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun berkenaan ditahan polis pada 4.50 petang semalam.
“Wanita itu ditahan semasa dia hadir bersama suaminya untuk memberi keterangan berhubung kejadian berkenaan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
“Kami turut merampas kenderaan yang terbabit dalam kes itu bagi membantu siasatan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan mendapati wanita berkenaan adalah seorang OKU fizikal iaitu buta sebelah mata.
“Anak perempuannya yang tular dalam video berkenaan juga adalah seorang OKU (PSY),” katanya.
“Ibu bapa dan masyarakat dinasihatkan tidak melakukan perkara yang boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak serta pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-29667474 bagi membantu siasatan,” katanya.


































