Pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa didera majikan yang diselamatkan polis di Selayang semalam menunjukkan kesan kecederaan dialaminya.- Ihsan PDRM
PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga Indonesia diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas dipercayai didera majikan di Selayang dekat sini semalam.
Malah, wanita berusia 24 tahun itu tidak dibayar gaji malah dipukul dan dirotan oleh majikan.
Mangsa diselamatkan sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi dijalankan kira-kira pukul 6.15 petang hasil maklumat diterima pihaknya.
Katanya, serbuan membabitkan sebuah rumah semi D dua tingkat iaitu tempat mangsa bekerja.
“Op Pintas ini bertindak menahan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun merupakan majikan mangsa.
“Suspek yang juga bekerja sebagai akauntan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Soffian, siasatan awal mendapati wanita tersebut telah bekerja sejak kira-kira enam bulan lalu.
Jelasnya, mangsa dipercayai didera oleh majikannya itu dengan cara memukul menggunakan rotan dan menampar mangsa.
“Terdapat lebam yang baru dipercayai kesan dera oleh majikan antaranya di bahagian tangan kiri dan pipi sebelah kiri.
“Mangsa yang dikatakan dijanjikan gaji RM1,400 sebulan juga mendakwa tidak pernah menerima sebarang duit gaji selama bekerja dengan suspek,” katanya.


































