Tahanan KPDN yang melarikan diri ditangkap semula di Kampung Mesra Sri Jaya, Semporna semalam – Ihsan PDRM
SEMPORNA: Dua tahanan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hanya sempat melarikan diri selama tiga jam sebelum ditangkap semula oleh pihak polis di dua lokasi berasingan semalam.
Kedua-dua tahanan berusia 30 dan 45 tahun itu dilaporkan melarikan diri daripada tahanan Pejabat KPDN kira-kira pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam menyatakan dua tahanan Pejabat KPDN telah melarikan diri pada pukul 1.07 petang.
Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna membuat tindakan awal dengan melancarkan Op tutup dan Op kesan melibatkan semua elemen yang berada di barisan hadapan.
“Bertindak atas maklumat orang awam, menyatakan bahawa tahanan yang melarikan diri berada di kawasan semak berhampiran Dewan Masyarakat.
“Maka sepasukan pegawai dan anggota telah membuat pemeriksaan di kawasan semak dan telah menemukan suspek pertama iaitu seorang lelaki warga asing berumur lebih kurang 45 tahun dalam keadaan terbaring dan sedang tidur serta tangan kanan masih bergari.
“Ketika tangkapan dibuat suspek bertindak agresif dan cuba untuk melarikan diri. Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar turut menemukan sehelai seluar lokap polis warna ungu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek kedua di tangkap di sebuah rumah di Kampung Mesra Sri Jaya kira-kira pukul 4 petang.
“Hasil pemeriksaan didalam rumah tersebut telah menemukan suspek kedua iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia lebih kurang 30 tahun dan turut merampas sehelai seluar lokap berwarna ungu daripada suspek.
“Pemeriksaan air kencing mendapati salah seorang suspek warga tempatan positif dadah jenis syabu. Kedua-dua suspek tersebut ditangkap dan disiasat di bawah seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.
































