Fadhlina Sidek
PETALING JAYA: Tidak berminat dan faktor beban tugas antara faktor utama yang menyumbang kepada guru bersara.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, berdasarkan rekod kementeriannya, jumlah guru yang diluluskan bersara pilihan sejak tiga tahun kebelakangan lalu adalah antara 4,300 hingga 6,300 orang.
Menurut beliau, faktor utama menyumbang kepada persaraan pilihan sendiri guru adalah disebabkan oleh tidak berminat iaitu sebanyak 72.36 peratus diikuti faktor keluarga (15.21 peratus), faktor kesihatan sebanyak 6.96 peratus, faktor beban tugas (3.82 peratus) dan faktor masalah peribadi 1.64 peratus.
Kata Fadhlina, Kementerian Pendidikan pada 2023 berjaya melantik guru baharu seramai seramai 20,171 orang secara lantikan tetap dan Contract of Service (CoS). http://utusan.com.my
“Ini merupakan pencapaian pelantikan tertinggi pernah Kementerian Pendidikan yang dilaksanakan dalam tempoh masa setahun.
“Bagi 2024, urusan pengambilan guru baharu telah bermula iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah mengeluarkan iklan pengambilan guru baharu pada 1 hingga 26 April 2024. SPP sedang melaksanakan tapisan ke atas permohonan yang telah diterima dan urusan temu duga dijangka bermula pada pertengahan bulan Julai 2024,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta Kementerian Pendidikan berhubung jumlah guru yang bersara pilihan sejak tiga tahun kebelakangan ini serta punca-punca utama persaraan mereka.
Menurut Fadhlina, pihaknya sentiasa memastikan keperluan guru mengikut opsyen mata pelajaran mencukupi bagi memastikan setiap murid dapat menjalani proses pembelajaran yang optimum.
Katanya, urusan pengambilan guru dilaksanakan oleh SPP berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran yang diperlukan oleh Kementerian Pendidikan.
































