KUALA LUMPUR: Seramai 2.93 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sebanyak RM6.98 bilion daripada Akaun Fleksibel setakat 10 Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sejumlah 3.45 juta ahli KWSP sudah membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan daripada Akaun Sejahtera sebanyak RM10.68 bilion.
“Bagi memastikan KWSP boleh mencapai objektif pelaburan , pelaburan KWSP adalah berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang mengalokasikan aset secara optimal dengan mengambil kira had toleransi risiko KWSP sebagai sebuah dana simpanan persaraan.
“SAA ini dikaji semula secara berkala bagi memastikan jangkaan pulangan dan risiko adalah relevan dengan keadaan pasaran modal semasa serta sebarang perubahan polisi, regulatori, perakaunan dan profil aset-liabiliti KWSP.
“Antara pertimbangan yang akan dikaji adalah profil kecairan portfolio pelaburan serta alokasi kepada baki tunai bagi mengambil kira impak daripada penstrukturan semula akaun KWSP,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Khoo Poay Tiong yang memintanya menyatakan jumlah pencarum KWSP yang memindahkan caruman dari Akaun 1 ke Akaun 3, jumlah pencarum dan caruman yang telah dikeluarkan dari Akaun 3 setakat ini.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, KWSP mengalokasikan baki tunai pelaburan pada julat dua hingga enam peratus daripada jumlah aset pelaburan berdasarkan SAA semasa.
Jelasnya, KWSP menjangkakan sebahagian besar pengeluaran daripada pengstrukturan semula akaun KWSP boleh ditampung oleh baki tunai semasa dan aliran masuk tunai bersih daripada caruman, kematangan serta pendapatan pelaburan.
“KWSP akan terus mengamalkan pendekatan pelaburan berdisiplin dan pengurusan kecairan yang baik dan berpandukan SAA untuk memastikan portfolio pelaburan KWSP tidak terjejas dengan penstrukturan semula akaun KWSP.
“Ini dapat memastikan prestasi pelaburan yang kukuh dapat dikekalkan selaras dengan objektif KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang,” katanya.
































