Muhammad Muzzammil Mohd. Mohlis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 16 individu kerana dipercayai terlibat dengan ideologi Daesh dalam tempoh kira-kira tiga minggu bermula hujung Mei hingga Ahad lalu.
Difahamkan, kesemua individu yang terdiri daripada 13 lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 tahun hingga 70 tahun ditahan dalam tiga operasi di seluruh negara.
Seramai 12 individu dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan manakala lapan lagi masih dalam tahanan reman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki yang dituduh pada minggu lalu.
Katanya, kedua-dua individu itu dituduh di Mahkamah Sesyen Muar dan Taiping pada 11 dan 14 Jun lalu melibatkan beberapa pertuduhan berkaitan keganasan.
“Tangkapan kedua membabitkan enam individu termasuk seorang wanita berusia antara 35 hingga 37 tahun dalam operasi pada Mei lalu dipercayai terpengaruh dengan ideologi Daesh.
“Ada antara yang ditahan sebelum ini pernah ditahan kerana dipercayai terbabit dengan elemen keganasan. Kesemua mereka dihadapkan ke mahkamah semalam,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambah sumber, seramai lapan lagi yang ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu kini direman selama 28 hari di bawah SOSMA.
“Dalam beberapa operasi berasingan itu, beberapa bahan berkaitan dengan Daesh turut ditemukan termasuk dalam telefon bimbit mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kumpulan pengganas Daesh dikesan meletakkan ideologi menjadikan pasukan polis sebagai sasaran utama serangan apabila melakukan sesuatu bentuk penentangan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Daesh berdiri teguh dengan ideologi yang ekstrem demi menuntut pemerintahan berprinsipkan khalifah.
“Sebagai contoh, kumpulan seperti Daesh ini tidak akan berpaksikan atau tidak berasaskan kepada khalifah atau (pemimpin) sesebuah kerajaan dan mereka juga akan cuba membuat satu penentangan.
“Jika mengikut urutan, sasaran utama kumpulan yang membawa fahaman dan ideologi militan seperti ini pertama sekali adalah pasukan polis sebelum menyasarkan pemimpin kerajaan dan VVIP (orang kenamaan) lain,” katanya.
Selasa lalu, Saifuddin mendedahkan, lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lalu.
Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Semua suspek yang berusia antara 25 hingga 70 tahun itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan bekas pensyarah.
Pada Mei lalu, akhbar ini menerusi laporan bertajuk ‘20 kumpulan radikal masih bertapak di Malaysia’ mendedahkan ideologi radikal masih wujud kerana pemikiran ekstremisme terus hidup dan diwarisi antara generasi keluarga.
Dianggarkan terdapat 20 kumpulan radikal termasuk Jemaah Islamiyah (JI) bertapak di negara ini sejak merdeka yang merangkumi kategori pelampau agama, politik dan ajaran sesat.
Penolong Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM), Dr. Ahmad El-Muhammady berkata, secara zahirnya saki baki pemikiran radikal masih wujud walaupun anasir keganasan sentiasa dipantau pihak keselamatan di samping bekas pengikut menjalani program pemulihan.
Kata pakar antikeganasan itu, selepas beberapa dekad, segelintir pengikut dikaitkan dengan kumpulan pelampau hanya menunggu masa untuk muncul semula dengan melihat perkembangan semasa kerana kecewa terhadap nasib penindasan umat Islam setiap masa.
































