Dr. Joachim bersama Ahmad (tengah) bergambar bersama dengan semua peserta QTECH Online System.
KOTA KINABALU: Qhazanah Technology Sdn. Bhd. (QTSB) dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah (KKTP) melancarkan satu sistem dalam talian dipanggil QTECH Online System di sini kelmarin.
QTECH Online System bertujuan untuk memudah cara proses permohonan berkaitan infrastruktur telekomunikasi di Sabah.
Majlis pelancaran ini merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha merealisasikan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan transformasi digital Sabah.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais, Pengerusi QTSB, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, Stanley Chong, Timbalan Pengerusi QTSB, Datuk Maznah Abdul Ghani, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Qhazanah Sabah Berhad, Rudy Jaglul dan Ketua Pegawai Eksekutif QTSB, Mikail Sungiau Abdullah.

Dr. Joachim (tiga dari kiri) menerima cendera kenangan Ahmad.
Ahmad Sah dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan kepada KKTP
atas sokongan padu kepada QTSB.
Selain itu, beliau juga menyatakan rasa bangga atas usaha gigih seluruh warga kerja QTSB yang telah bertungkus lumus dalam merealisasikan pelancaran sistem ini.
Beliau berharap semua agensi, syarikat telekomunikasi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memanfaatkan inisiatif ini sepenuhnya untuk mengoptimumkan tahap penyampaian serta perkhidmatan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi Sabah.
Sistem dalam talian ini adalah sejajar dengan inisiatif Kerajaan Digital Berteraskan Teknologi dan Inovasi di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Dengan adanya sistem ini, proses permohonan, kuiri dan kelulusan berkaitan infrastruktur telekomunikasi akan dijalankan secara digital, meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan.
Program tersebut berlansung selama dua hari iaitu sehingga 26 Jun dan melibatkan pelbagai agensi seperti PBT dan syarikat telekomunikasi.
Pada hari pertama, selain acara pelancaran sistem, sesi bengkel juga diadakan pada sebelah petang untuk memberi pendedahan kepada wakil-wakil PBT tentang cara penggunaan sistem dalam talian ini.
Manakala, hari kedua diteruskan dengan sesi bengkel bersama syarikat telekomunikasi.


































