Dr. Joachim (tengah) mewakili Ketua Menteri menyempurnakan gimik perasmian Pecah Tanah Bangunan Pasar Rakyat Dua Tingkat Pekan Beluran.
BELURAN: Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan pembinaan bangunan Pasar Rakyat Dua Tingkat di Pekan Beluran dengan kos peruntukan sebanyak RM2.5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut di sini hari ini.
Apabila siap kelak, bangunan Pasar Rakyat ini yang lengkap dengan fasiliti dan kemudahan dijangkakan akan dapat membantu 70 orang peniaga tempatan dan memberikan keselesaan kepada masyarakat Beluran yang datang berkunjung.
Bangunan ini juga akan menempatkan kemudahan lain seperti surau dan tandas dan ia dijangka siap pada Mei tahun depan.

Dr. Joachim (empat dari kanan) menerima cendera kenangan daripada Roger.
Ketua Menteri berharap pembangunan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Ini adalah antara usaha Kerajaan bagi menaikkan taraf hidup serta meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat di daerah ini.
“Saya juga menggesa kepada semua Ketua-ketua Jabatan serta pemimpin masyarakat Beluran untuk memastikan semua projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di daerah ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya agar memberi manfaat dalam aspek peningkatan ekonomi kepada masyarakat Beluran.
“Ini bagi memastikan prinsip Value for Money iaitu semua kos perbelanjaan adalah demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat setempat,” kata Hajiji. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim (empat dari kanan) menyampaikan replika kunci kepada penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam Majlis perasmian Pecah Tanah Bangunan Pasar Rakyat Dua Tingkat Pekan Beluran.
Ketua Menteri berkata, selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri komited dalam memperbaiki serta meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Majlis pada hari ini adalah bukti nyata komitmen Kerajaan dalam memastikan objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dicapai dengan menyediakan kemudahan perniagaan yang teratur dan selesa kepada usahawan Bumiputera di pelbagai daerah untuk menjana ekonomi rakyat setempat.
“Pasar yang sedia ada di Pekan Beluran adalah sebuah lot gerai terbuka yang berbumbung dengan menempatkan kira-kira 51 peniaga, yang dibina pada tahun 2002.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan ia sudah tidak sesuai digunakan disebabkan telah usang, selain memerlukan kemudahan perniagaan yang lebih besar, teratur dan selesa bagi menempatkan peniaga yang semakin ramai,” kata Hajiji.
Beliau turut menyeru kepada semua pemimpin dan juga masyarakat daerah Beluran untuk sentiasa memberikan sokongan terhadap dasar dan juga program yang dilaksanakan oleh Kerajaan.
“Sesungguhnya, semua dasar yang digubal dan program yang dirancang adalah untuk kepentingan, kesejahteraan dan pembangunan Sabah yang tercinta ini,” katanya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Datuk Samad Jambri; Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan dan ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah dan ADUN Telupid; Datuk Jonnybone Kurum; ADUN Dilantik, Datuk Jaffari Walliam; Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais; Pegawai Daerah Beluran, Roger Appolonius dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Beluran, Huil Binua.
































