Ellron (tengah) menerima cenderahati daripada Flovia sambil disaksikan oleh Kong.
KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Datuk Ellron Angin menyeru semua ahli sayap Wiranita dan Wiramuda parti mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
Katanya, ini sangat penting kerana mereka merupakan tulang belakang kepada kekuatan parti.
“Perkara ini perlu dititik beratkan memandangkan segelintir anak-anak muda yang melibatkan diri dalam bidang politik kurang memahami erti sebenar penglibatan mereka dalam arena politik.
“Saya melihat ada sebilangan daripada golongan muda kurang mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang politik, untuk menduduki Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Wiramuda dan Wiranita…bukan semua hanya segelintir dan ini perlu diubah.
“Knowledge is power, apabila kita berilmu kita akan lebih dihormati dan disegani,” katanya ketika menyempurnakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tri Tahunan Exco Wiramuda dan Wiranita STARSABAH di Dewan Datuk Guandee Sokid Villa, Bukit Padang, di sini, hari ini.
Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah turut berharap akan ada tranformasi dalam barisan kepimpinan sayap Wiranita dan Wiramuda STARSABAH supaya menampilkan satu formasi jawatankuasa yang dipandang tinggi dengan dengan latar belakang akademik ahli-ahli yang gah.
Katanya, formasi sebegini adalah penting bagi memperkasa dan memantapkan kedudukan parti, kerana dua sayap inilah bakal mewarisi kepimpinan STARSABAH pada masa akan datang.
Ellron turut menyentuh tentang kolaborasi antara STARSABAH dan Parti Bersatu Sabah (PBS) baru-baru ini yang bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan kedua-dua parti.
Beliau juga berkata, pada pilihan raya negeri yang akan datang, pucuk pimpinan parti hanya akan mengetengahkan calon yang boleh menang (winnable candidate) untuk bertanding.
Oleh itu, beliau menyeru kepada mereka yang ingin menawarkan diri untuk bertanding agar bekerja keras di kawasan masing-masing dan menyantuni rakyat sebaik mungkin.
Selain itu, beliau turut mengingatkan ahli parti lain agar mengelakkan amalan sabotaj yang boleh mencemarkan nama baik parti yang sekali gus akan menjejaskan peluang kemenangan pada pilihan raya nanti.
“Kepada semua ahli parti daripada akar umbi, para perwakilan sehingga ke pucuk pimpinan tertinggi, marilah kita sama-sama memperhebat dan memantapkan lagi parti kita bagi menempuhi pilihan raya akan datang.”
Pada pemilihan kali ini menyaksikan Exco Wiranita STARSABAH, Datuk Flovia Ng akan mempertahankan kedudukannya, manakala Exco Wiramuda Kong Soon Choi akan menggosongkan jawatannya dan bakal digantikan oleh Jordan Jude Ellron yang telah disahkan menang tanpa bertanding untuk memangku jawatan itu bagi tahun 2024-2027.
































