KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor, berhadapan SJK(C) Kuok Ming, Jalan Sin San, Pasir Putih, Tawau, hari ini.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan sekitar jam 2.20 petang oleh sepasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah dan telah menjumpai serta menyita sebanyak 4,000 liter minyak diesel yang ditemui dalam 18 unit drum berkapasiti 200 liter (sebanyak 2,000 liter) dan dalam sebuah tangki trailer berkapasiti 20,000 liter (sebanyak 2,000 liter) yang disyaki diselewengkan.
Katanya, turut disita barangan yang terlibat dalam aktiviti haram ini ialah:
* Kenderaan pacuan empat roda jenama Isuzu Single Cab – 1 unit
* Tangki Fiber yang telah diubah suai kapasiti 1,000 liter – 1 unit
* Drum kapasiti 200 liter – 18 unit
* Hose getah – 1 unit
* Mesin pump minyak – 2 unit
* Tangki trailer – 1 unit
Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM104,500.

“Seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun yang dipercayai penjaga stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Georgie berkata, risikan telah dijalankan selama seminggu oleh KPDN Sabah sebelum serbuan dijalankan.
Katanya, berdasarkan keterangan awal, premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi berkenaan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.”
Beliau berkata, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:
i. WhatsApp iaitu 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Call Centre 1-800-886-800, dan;
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN


































