Anwar Ibrahim
BUKIT MERTAJAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya langkah yang diambil oleh kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel ketika ini adalah tepat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, langkah tersebut penting dalam usaha Malaysia untuk menyelamatkan dana negara daripada bocor dan disalah guna oleh pihak tertentu sehingga keuntungan itu diperoleh oleh syarikat-syarikat besar dari negara jiran.
Jelas beliau, langkah yang sama juga penting bagi mengekang kecurian diesel terutamanya melibatkan nelayan asing serta syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di sempadan negara.
“Dua hari sudah, semua bas pelancongan dan syarikat-syarikat pelancongan dari Singapura nak naik harga sebab mereka tak dapat subsidi (diesel).
“Maknanya apa? Selama berpuluh tahun (sebelum ini) subsidi kita pergi ke syarikat-syarikat di Singapura dan pergi ke kapal-kapal Siam (Thailand), dicuri di sana-sini, bocor pun banyak,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran penyasaran subsidi diesel di negara ini semasa menghadiri Program Korban Perdana di Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, memandangkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel masih di peringkat, maka, sudah pasti terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi.
“Ya, kalau ada kelemahan, maklumkan dan kita akan betulkan. Saya masih ambil sikap kalau ada masalah, bagi tahu. Soalnya sekarang, adalah wajar (untuk) kita teruskan penyasaran subsidi diesel ini,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan terpaksa menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut pada 10 Jun lalu.


































