Pengarah HASiL Sabah bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan para petugas Ops Borneo 2.0.
KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melaksanakan operasi lawatan pematuhan bersepadu yang dikenali sebagai Operasi Borneo (Ops Borneo) 2.0 Peringkat wilayah Sabah selama lima hari mulai 10 Jun 2024, melibatkan lima lokaliti iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau dan Labuan.
Ia selaras dengan inisiatif HASiL untuk memaksimumkan pematuhan sukarela dan mengoptimumkan operasi organisasi.
Operasi ini merupakan kesinambungan daripada Ops Borneo 1.0 peringkat wilayah Sarawak yang telah dilaksanakan pada 14 Mei yang lalu.
Seramai 260 orang pegawai HASiL seluruh Sabah telah terlibat dalam operasi yang melibatkan aktiviti audit percukaian syarikat dan perniagaan, serahan notis pemakluman sebelum tindakan saman, audit Potongan Cukai Bulanan (PCB) majikan, serahan saman dan notis tunggakan, serahan notis gagal patuh kes syarikat (CP204) dan kes individu atau perniagaan (CP500) serta lawatan banci bisnes.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah HASiL Sabah, Azrul Hisham Shamsudin dan turut disertai oleh Pengarah Jabatan Siasatan, Jabatan Pematuhan Cukai, Jabatan Perisikan dan Profiling serta barisan pengurusan kanan HASiL Sabah dan Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau optimis bahawa operasi lawatan pematuhan ini dapat memberikan kesan positif dari segi kutipan di samping meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan pembayar cukai serta mengurangkan ketirisan hasil cukai, seterusnya menyumbang kepada kelestarian kutipan hasil negara.
Penganjuran operasi ini diharap mencapai objektifnya dalam menyokong agenda pembesaran asas cukai serta meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat demi pembangunan dan kesejahteraan ekosistem percukaian negara.
Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi:
a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000
(Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; atau
c) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/


































