KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) melakukan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ravinthran N. Paramaguru, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Dr. Choo Kah Sing membuat keputusan itu menerusi pendengaran kes secara dalam talian, hari ini.
Dalam keputusan yang dibacakan Ravinthran, SLS tidak mencabar geran khas sebaliknya, hanya mendesak mahkamah untuk mengambil kira pinjaman yang tidak dibayar untuk tahun-tahun kerugian, iaitu hanya mengenai masalah tafsiran Perlembagaan.
Pada pandangan panel hakim, perkara itu bukan sesuatu yang tidak dibenarkan, peguam SLS telah mengemukakan hujah mereka dalam permohonan semakan kehakiman bahawa SLS bukan hendak mencabar kesempurnaan undang-undang berkaitan geran khas.
Sekiranya berlaku sebegitu, ia akan segera menarik pertikaian berdasarkan apa yang telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah. Malah, SLS juga tidak memohon untuk melakukan semakan terhadap Perkara 112.
Mahkamah berpandangan fokus permohonan semakan kehakiman yang dibenarkan pada 2022 adalah untuk mengambil kira ‘tahun kerugian’ dan seperti dinyatakan Hakim Mahkamah Tinggi, perkara berkaitan tafsiran ini akan diputuskan melalui pendengaran penuh semakan kehakiman berkenaan.
Justeru, panel hakim mendapati mereka tidak boleh tidak bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berkaitan perkara berkenaan.
Kesimpulannya, mahkamah menolak rayuan kerajaan Persekutuan untuk mencabar permohonan semakan kehakiman yang diperoleh SLS.
Pihak berkaitan boleh mendapatkan arahan mahkamah untuk menetapkan tarikh perbicaraan penuh mengenai semakan kehakiman tersebut daripada Mahkamah Tinggi kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.
Kerajaan Persekutuan mengemukakan rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 11 November 2022, yang memberi kebenaran kepada SLS meneruskan semakan kehakiman bagi mendesak agar hasil Persekutuan yang diperoleh dari Sabah dikembalikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS bagi mendapatkan kebenaran untuk meneruskan semakan kehakiman bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia berkaitan kepentingan awam.
Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes tersebut sementara menunggu rayuan.
SLS memfailkan semakan kehakiman pada 9 Jun 2022 untuk membatalkan pewartaan kerajaan Persekutuan dalam memberi geran tahunan RM125.6 juta untuk Sabah, dengan menyatakan ia tidak mengikut hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


































