Berwajah comel, namun fizikalnya besar seolah-olah harimau.
Maine Coon berbeza berbanding kucing biasa kerana beratnya yang boleh mencapai berkali ganda.
Berdasarkan sejarah, nama si comel ini dikatakan berasal dari daerah Maine di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, Pemilik Sunny Rich Cattery, Sarah Gan Wei Lee berkata, terdapat dua jenis baka kucing itu iaitu dari AS dan Eropah.
Baka AS lebih lembut manakala Eropah pula mempunyai rupa yang garang, namun kedua-duanya terkenal dengan sifat manja dan suka disayangi.
Katanya, spesis Maine Coon itu mula menjadi sebahagian ahli keluarganya setelah dibawa pulang suami dari pusat perlindungan haiwan.
“Saya jatuh cinta dengan karakternya yang manja dan bijak.
“Sebab itulah Maine Coon juga dikenali sebagai gergasi manja,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Ujar Sarah lagi, haiwan itu perlu sentiasa berdamping dengan manusia.
“Jika mahu diletakkan dalam sangkar, lupakan sahaja hasrat anda untuk memeliharanya,” katanya.

KOS PENJAGAAN
Melihat kepada saiz kucing ini, pasti kita dapat meneka kos penjagaan yang tinggi terutama dari segi pemakanan.
Selain itu, ia juga memerlukan dandanan yang lebih kerap berbanding kucing biasa.
Menurut Sarah, dandanan bulu sangat penting bagi menjaga kebersihan.
“Rutin ini disarankan dibuat dua minggu sekali.
“Bulu juga perlu sentiasa disikat agar kekal terurus,” katanya.
Dalam masa sama, bersihkan telinga dan potong kuku di samping pemberian ibu kutu sebulan sekali.
Tambah Sarah, perbelanjaan keseluruhan kucing itu boleh mencecah RM400 sebulan.
Ia termasuk bagi pembelian makanan kering, mentah dan suplemen.
“Bulunya tebal, jadi sangat digalakkan untuk guna penghawa dingin atau ditempatkan di kawasan berkipas terutama bila cuaca panas,” katanya.
Berkongsi nilai pasaran kucing itu, Sarah berkata, harga bagi seekor Maine Coon mampu mencecah sehingga RM15,000.
Katanya, harga itu bergantung kepada kualiti dari segi profil jenis kucing yang dijual.
“Harganya bermula dari RM5,000 hingga RM15,000,” katanya.
































