Shahelmey Yahya semasa sidang akhbar di Menara Kinabalu kelmarin.
KOTA KINABALU: “Mereka tidak hormat orang yang mahu mendengar masalah mereka. Mereka lebih berminat untuk meraih perhatian media.”
Demikian kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya mengenai kumpulan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengadakan Perhimpunan Aman #KamiMahuAir Sabah di depan Menara Kinabalu kelmarin.
Menteri Kerja Raya yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) itu berkata, beliau sendiri sudah turun untuk bertemu dengan kumpulan pelajar tersebut namun, seperti kumpulan itu tidak menghormatinya.
“Situasi hari ini kita lihat dari ayat-ayat yang mereka lontarkan, tuntutan air itu hanya sebagai alasan untuk keluar buat demonstrasi.
“kalau kita tengok ayat-ayat seterusnya lebih bermotifkan politik. Saya pun tidak tahu apa tujuan motif politik yang mereka cuba sampaikan.
“Saya sudi turun, saya berada di sini sebagai rakyat biasa untuk mendengar suara mereka namun, seperti mereka tidak hormat kita,” katanya semasa hadir untuk menerima memorandum daripada Suara Mahasiswa UMS di depan Menara Kinabalu.
Walau bagaimanapun, Sekretariat Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah enggan menyerahkan memorandum kepada Shahelmey.
Shahelmey berkata, beliau diwakilkan oleh Ketua Menteri untuk menerima memorandum daripada kumpulan pelajar tersebut.
“Namun, saya dimaklumkan oleh polis yang berhubung dengan ketua demonstrasi bahawa mereka enggan memberi memorandum tersebut kepada saya dan hanya ingin serahkan kepada Ketua Menteri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pemberitahuan mengenai perhimpunan kelmarin telah dimaklumkan kepada PDRM.
Namun, terdapat kesalahan dilakukan dan kertas siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 akan dibuka maka, kompaun boleh dikeluarkan kepada penganjur.
“Situasi hari ini (kelmarin) terkawal dan bilangan peserta perhimpunan juga tidak ramai. Mereka cuma berhasrat berjumpa dengan Ketua Menteri tapi, secara kebetulan Ketua Menteri berada di luar kawasan jadi, diwakilkan kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya.
“Saya difahamkan sekiranya sekretariat perhimpunan setuju pada minggu depan, Ketua Menteri sanggup berjumpa dengan mereka,” katanya.
































