PETALING JAYA: Pemilik kenderaan logistik yang diluluskan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 dan belum menerima kad fleet boleh memohon pembayaran semula bermula 1 Julai ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kewangan memaklumkan, pembayaran semula secara tunai itu adalah mekanisme interim yang dibangunkan kerajaan bagi membantu pemilik kenderaan yang belum mendapat kad fleet.
Katanya, mekanisme berkenaan adalah kaedah sementara untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.
Justeru, mereka yang layak boleh melakukan permohonan melalui portal BUDI Madani https://budimadani.gov.my.
“Pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit. Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada KPDN di bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun.
“Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima kad fleet atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.
“Oleh itu, Kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon kad fleet secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutama melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.
“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.
“Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” katanya.


































