Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ketika sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini.
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah dengan penahanan 18 individu dalam serbuan berasingan di beberapa negeri pada 4 dan 5 Mei lalu.
Kesemua individu terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita warga tempatan berusia antara 30 hingga 71 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Sabah, Perak dan Selangor.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan siasatan, sindiket tersebut telah beroperasi sejak tahun 2019 dengan menawarkan pelaburan kononnya berkaitan IKS Sabah.
Katanya, mereka yang ditahan dipercayai berperanan selaku dalang, moderator, dan pemilik akaun keldai yang digunakan oleh sindiket penipuan terbabit.
“Sindiket tersebut menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri untuk meyakinkan mangsa-mangsa bahawa pelaburan tersebut adalah sah.
“Aplikasi Whatsapp telah dijadikan sebagai medium untuk berkomunikasi selain perjumpaan bersemuka yang turut dilakukan dengan mangsa- mangsa terlibat.
“Sindiket ini menawarkan pulangan yang tinggi dalam bentuk hibah antaranya melalui pelaburan RM1,000, pelabur dijanjikan keuntungan RM200,000 dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Menurut Ramli, mangsa-mangsa yang terpedaya telah mendepositkan wang melalui pindahan ke beberapa akaun keldai milik syarikat dan perniagaan.
Jelasnya, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan sepertimana yang dijanjikan.
“Sehingga kini, 15 laporan polis diterima dengan jumlah kerugian keseluruhan RM2.98 juta berkaitan kes ini.
“Turut dirampas adalah 28 kad debit pelbagai bank, 24 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba dan sebuah tablet,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut menyita sebanyak 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM69,796.90 di bawah Seksyen 50(1) AMLATFPUAA 2001.
“Penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 juga telah dibuat terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM75,000.00 selain membeku 38 akaun bank (RM108,131.93) di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001,” katanya.
Menurut Ramli, kesemua individu yang ditahan sedang disambung reman masing-masing sehingga hari ini, esok dan lusa.
“Siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan,” katanya.


































