PETALING JAYA: Seorang majikan dikatakan sanggup bertindak kejam dengan mengurung pembantu rumahnya warga Indonesia di balkoni rumahnya setiap kali selesai tugasan.
Bukan itu sahaja, mangsa juga mendakwa tidak dibayar gaji selain dilayan seperti binatang.
Episod malang itu bagaimanapun berakhir selepas mangsa berumur 21 tahun diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kira-kira pukul 5 petang semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati mangsa baru bekerja dengan majikannya seminggu lalu di sebuah unit kondominium dekat Mutiara Damansara.
“Mangsa bertugas mencuci tandas sahaja dan selesai melakukan tugasan, dia mendakwa dikurung semula di balkoni rumah.
“Selain itu, mangsa turut mendakwa tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barangan dalam rumah berkenaan,” katanya di sini.
Katanya, mangsa turut tidak menerima gaji dan tidak tahu berapa bayaran untuk pekerjaannya itu.
“Mangsa tidak menerima gaji sejak bekerja seminggu lalu, dan tidak tahu berapa nilai gajinya.
“Selain itu, mangsa mendakwa diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari selain sentiasa dimarahi oleh majikannya itu,” katanya.
Menurut beliau, serbuan dijalankan turut menahan seorang wanita warga tempatan berumur 69 tahun dipercayai merupakan majikan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63,” katanya.






























