PETALING JAYA: Tidak menarik brek tangan dengan kemas dipercayai punca kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), dekat sini Sabtu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian pada pukul 8.20 pagi itu berlaku apabila pemandu lelaki yang bekerja sebagai penasihat jualan meletakkan kenderaan di hadapan pejabat Perodua Balakong.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan tidak menarik brek tangan dengan kemas, kenderaan tersebut mengundur keluar sehingga ke jalan utama lalu menyebabkan dua penunggang motosikal melanggar bahagian kiri kenderaan terbabit.
“Akibat dari kemalangan, penunggang motosikal cedera. Kes disiasat di bawah Rule 14 LN 166/59,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Tegas Mohd. Zaid, pihak polis menasihatkan pemandu kenderaan agar berhati-hati dan cermat semasa menggunakan kenderaan supaya tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Nor Shahidan di talian 012-3910630 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kelmarin tular video berdurasi 51 saat memaparkan kereta berwarna putih memasuki pagar sebuah pejabat dan meletakkan kenderaannya.
Bagaimanapun, beberapa saat kemudian kenderaan tersebut telah mengundur keluar daripada premis tanpa pemandu menghala ke jalan utama.
Ekoran kejadian itu, dua buah motosikal telah berlanggar dengan kereta terbabit yang berada di tengah jalan itu.




























