Badrul Hisham Alias (kiri) menyampaikan sijil kelahiran kepada Anis Suhada Suheri (dua, kanan) dan Rais Rayyan Suheri di Kampung Pengkalan Ubi Keling, Besut, hari ini.
BESUT: Sebanyak 27,830 kes lewat mendaftar kelahiran bayi direkodkan di seluruh negara sejak Januari 2022 hingga kini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias berkata, jumlah itu direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui 900 Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang dilaksanakan di seluruh negara.
Menurutnya, program Mekar merupakan pendekatan produktif JPN dalam memastikan tiada keciciran dokumen pengenalan diri yang sah bagi setiap penduduk di negara ini yang layak.
“Antara faktor yang menyebabkan kelewatan pendaftaran kelahiran bayi termasuk masalah kewangan yang menyebabkan mereka tidak mendaftarkan kelahiran dalam tempoh yang ditetapkan.
“Keduanya pemahaman ataupun tidak tahu daftar sijil kelahiran dan ketiganya berkahwin di luar negara,” katanya.
Terdahulu, Badrul Hisham menyerahkan dokumen sijil kelahiran kepada dua beradik Anis Suhada Suheri, 7, dan Rais Rayyan Suheri , 1, di Kampung Pengkalan Ubi Keling, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan anak pasangan, Siti Zulaiha Asyikin Adam, 33, dan Suheri Mat Noor, 41, tidak memiliki sijil lahir kerana kesukaran menguruskan permohonan di JPN.
Beliau menambah, pihaknya menasihatkan ibu bapa agar tidak mengambil mudah berkaitan pendaftaran kelahiran anak mereka untuk mengelakkan kesulitan yang dihadapi ketika ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
“Saya menyeru agar orang ramai untuk memaklumkan kepada mana-mana 212 pejabat JPN seluruh Malaysia bagi membantu individu yang mengalami masalah dokumen pengenalan diri,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Zulaiha Asyikin pula berkata, sebelum ini dua anaknya, Hanis Suhada dan Rais Rayyan tidak mempunyai sijil kelahiran ekoran kelewatan mendaftar disebabkan kekangan kemiskinan hidup.
“Alhamdulillah akhirnya kebimbangan saya dan suami Suheri Mat Noor, 41, akhirnya berakhir hari ini apabila kedua-dua anak kami memiliki sijil kelahiran.
“Ia sekaligus memudahkan segala urusan persekolahan serta permohonan segala bantuan yang diperlukan selepas ini,” katanya.


































