KUALA LUMPUR: Malaysia diharapkan bakal menjadi hab semikonduktor di Asia memandangkan peranannya yang penting dalam ekonomi negara, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, eksport semikonduktor menyumbang 40 peratus daripada jumlah eksport negara ketika ini, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengeksport keenam terbesar dalam sektor ini.
“Permintaan global untuk semikonduktor dijangka mencapai AS$1 trilion (RM4.69 trilion) menjelang 2030 dengan pertumbuhan yang dijangka berterusan.
“Justeru, Malaysia bertujuan memanfaatkan kehadirannya selama 50 tahun dalam industri ini dan melangkah ke peringkat nilai yang seterusnya dengan memanfaatkan kemajuan dalam teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan aplikasi harian,” katanya selepas Pelancaran Semikonduktor Asia Tenggara 2024, di sini kelmarin
Menurutnya, Malaysia mempunyai sejarah yang membanggakan dan rekod prestasi yang kukuh dalam sektor semikonduktor.
“Selama lebih lima dekad, negara kita telah membina warisan yang kuat sebagai pemain utama dalam litar semikonduktor ASEAN, sambil memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan elektronik global,” katanya.
Tengku Zafrul menyatakan keyakinannya terhadap asas semikonduktor Malaysia yang kukuh dan menegaskan kini adalah masa tepat untuk meningkatkan negara menjadi kuasa besar semikonduktor yang sebenar dan hab pembuatan serantau.
Beliau berkata, pengaturan strategik itu telah memberi akses kepada industri elektrik dan elektronik (E&E) negara, terutamanya industri semikonduktor kepada pasaran global.
Selain itu, katanya, Malaysia semakin dilihat sebagai sebuah negara Asia Tenggara yang penting dalam membantu meningkatkan rantaian bekalan global bagi industri dan kepentingan strategik sektor semikonduktor untuk terus berkembang.
“Kebergantungan global yang meningkat terhadap semikonduktor telah merangsang penyelidikan dan pembuatan di Asia Tenggara.
“Ia turut menjadikan komponen ini lebih penting dalam elektronik moden dan penyelidikan canggih yang boleh menangani atau memperburuk isu-isu global,” katanya.
Semikonduktor Asia Tenggara 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 30 Mei 2024 dengan hampir 500 penyertaan syarikat pempamer dan lebih 1,000 kiosk pameran.






























