PETALING JAYA: Kes serangan jantung, strok dan masalah darah beku yang berlaku ketika ini tiada kaitan dengan pemberian vaksin AstraZeneca kerana program vaksinasi sudah pun dihentikan, kata bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu hantaran di Facebook miliknya, Dr. Noor Hisham berkata, serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku ketika ini adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, kolesterol dan kencing manis.
Menurutnya, kesan sampingan yang dikaitkan dengan pengambilan vaksin jenis AstraZeneca hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga sebulan selepas menerima vaksinasi.
“Orang ramai diminta tidak risau kerana vaksinasi terakhir AZ (AstraZeneca) telah berlalu bertahun lamanya. Kes mahkamah yang diwar-warkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom sewaktu pandemik Covid-19. Ia bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada waktu itu telah menerima laporan bahawa VITT (kesan darah beku) ini boleh berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas vaksinasi.
“Bagaimanapun, vaksin ini masih perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi dan ketika itu stok vaksin tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai perlu membezakan antara kesan samping darah beku VITT dengan masalah pembekuan darah yang lain.
Katanya, kriteria diagnosa VITT mestilah berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah.
“Diagnosa tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan. Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan serta kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, golongan berisiko tinggi adalah mereka yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini.
Justeru, katanya, golongan berisiko tersebut tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca.
“KKM juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku AEFI.
“Selain langkah berjaga-jaga ini, insiden kesan samping darah beku VITT juga sangat rendah iaitu empat kes dalam satu juta suntikan. Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu sendiri, ia lebih selamat,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas jangkitan Covid-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) adalah setinggi 165,000 kes dalam satu juta jangkitan.
“Insiden darah beku di kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam satu juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” katanya.


































