Ebit Lew diiringi peguam, Ram Singh (tengah) semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah. hari ini.
TENOM: Saksi kesembilan iaitu pengadu memberitahu mahkamah bahawa dia ada menghantar gambar payudaranya kepada pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Menurut Utusan Malaysia, saksi memberitahu perkara itu semasa menjawab soalan pemeriksaan balas yang dikemukakan oleh peguam mewakili Ebit, Datuk Ram Singh.
Ketika peguam bela bertanya adakah gambar yang berada dalam muka surat 17 hingga 21 dalam laporan LGMS IDD-2 iaitu payudara miliknya, saksi menyatakan betul gambar tersebut milik dia.
Malah, saksi juga turut mengaku ada menghantar gambar wajah miliknya kepada pendakwah berkenaan.
Dalam keterangannya, saksi turut memberitahu bahawa dia ada mendedahkan kaki dan bahagian atas badan kepada Ebit menerusi mesej dalam aplikasi WhatsApp.
Katanya, dia terikut dengan kehendak Ebit untuk melihat atas badannya tapi, dia tidak mendedahkan bahagian kaki. Malah, suaminya juga tahu bahawa dia ada berkongsi gambar yang mendedahkan bahagian atas badan kepada Ebit.
“Ya, saya beritahu (suami) sebab bila sedar Ebit minta macam itu, saya jadi marah jadi saya kongsi dengan suami,” katanya di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Saksi juga memberitahu dia memberikan gambar tersebut kerana menerusi mesej WhatsApp daripada Ebit, pendakwah tersebut sering memaksa maka, ada satu ketika dia terikut kehendaknya.
Dalam keterangannya, saksi memberitahu mahkamah dia telah berkahwin selama 10 tahun dan hanya mengenali Ebit selama tempoh sebulan pada Mac 2021.
Bagaimanapun, saksi menyatakan tidak pada andaian peguam bahawa tindakannya berhubung dengan seseorang yang baharu dikenali dalam tempoh sebulan seperti mengkhianati suaminya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram dan Kamarudin Mohmad Chinki.






























