Nor Asiah Mohd Yusof
KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan telah mengadakan pengurusan kes bagi rayuan Peguam Negara Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kebenaran kepada Sabah Law Society untuk meneruskan perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman mereka berkenaan dengan Geran Pemberian Khas 40% Negeri Sabah.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof telah mewakili Kerajaan Negeri Sabah bersama Penasihat Undang-undang Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Brenndon Keith Soh, serta Devina Teo dan Roland Alik, Peguam Kerajaan Negeri.
Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan bahawa Tetuan F.T. Ahmad & Co tidak lagi bertindak mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri telah mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan pengurusan perkara ini.
Nor Asiah berkata, setelah meneliti dan mengkaji perkara ini serta prosiding yang telah berlangsung, Mahkamah Rayuan telah dimaklumkan mengenai pendirian-pendirian berikut:
i. Memandangkan Kerajaan Negeri tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 11 November 2022, Kerajaan Negeri menerima keputusan yang diberikan, iaitu, kebenaran diberikan untuk perkara ini dibahaskan berdasarkan merit dalam perbicaraan substantif permohonan semakan kehakiman;
ii. Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri menarik balik semua hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan mengenai isu “locus standi” Sabah Law Society kerana isu ini tidak dibangkitkan atau dihujahkan di Mahkamah Tinggi oleh Kerajaan Negeri; dan
iii. Kerajaan Negeri menarik balik hujahan yang dibuat di Mahkamah Rayuan yang merujuk kepada Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan sebagai “aspirasi” dan bukan hak mandatori atau mutlak Negeri Sabah.
Mahkamah Rayuan telah merekodkan pendirian-pendirian ini dan telah menetapkan tarikh 18 Jun 2024 untuk menyampaikan keputusan bagi perkara ini.
“Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri komited sepenuhnya dan berpendirian teguh dalam mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


































