Ebit Lew semasa menghadiri perbicaraan gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom, semalam.
TENOM: Saksi kesembilan iaitu pengadu memberitahu mahkamah, Ebit Lew menghantar mesej-mesej berunsur lucah walaupun semasa bulan Ramadan.
Menurut Utusan Malaysia, dalam keterangannya, saksi memaklumkan bahawa Ebit cuba merangsang dia atas tujuan melayan nafsu seks pendakwah terkenal tersebut.
Sepanjang tempoh hampir sejam iaitu dari pukul 11.01 malam hingga 12 tengah malam pada 19 April 2021, Ebit menghantar kira-kira 70 mesej berunsur lucah.
Malah katanya, ayat-ayat yang dihantar oleh tertuduh mengaibkan kehormatan perempuan sebab Ebit cuba merangsang untuk memenuhi nafsu seksnya.
“Semasa dia bagi ayat lucah itu, saya ada pesan janganlah jalan-jalan kalau asyik nak, boleh buat dengan isteri. Maksud saya, kalau dia kuat nafsu dan dia perlu sentiasa dengan isteri supaya tidak perlu goda orang lain.
“Apa yang saya nampak karakter Ebit dalam media sosial sangat berbeza dengan teks-teks dia bagi pada saya.
“Selalu saya tengok dia cerita tentang isteri yang dianggap bidadari dan amat hormati perempuan. Tapi apabila dia mesej macam itu, seolah-olah dia anggap perempuan ini untuk seks sahaja,” katanya semasa memberi keterangan dalam sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret, semalam.
Kata saksi berkenaan, Ebit secara berterusan menghantar mesej berunsur lucah kepadanya selepas tarikh berkenaan termasuklah apabila dia memberitahu dia hendak bersahur bersama suami dan anak-anak.
Menurut saksi, Ebit marah apabila dia tidak melayan mesej-mesej yang dihantar biarpun mengetahui pengadu mempunyai suami.
Selain pesanan Whatsapp, Ebit turut menghubunginya pada 1 Mei 2021 untuk memberitahu sedang terangsang dan meminta pengadu melayan kemahuannya.
Selain itu, mahkamah membenarkan pihak pendakwaan membuat pindaan masa dalam pertuduhan membabitkan Ebit.
Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memohon kebenaran mahkamah untuk melakukan pindaan pada waktu kejadian iaitu dari pukul 6 pagi kepada lebih kurang pukul 8.07 pagi.
Dalam pertuduhan pertama, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, pada 29 Mac 2021, kira-kira pukul 8.07 pagi di sebuah kampung di daerah Tenom dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar gambar kemaluan kamu (tertuduh) melalui aplikasi Whatsapp dengan maksud benda itu boleh dilihat oleh perempuan berkenaan.
Apabila pertuduhan dibacakan, tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Berdasarkan keterangan saksi, Ebit menunjukkan kemaluan melalui panggilan video pada pukul 8.06 pagi dan pada pukul 8.07 pagi, tertuduh menghantar gambar kemaluan yang sama dengan panggilan video yang dibuat.
Namun, gambar kemaluan yang diberikan itu telah dipadam oleh tertuduh namun, saksi sempat membuat tangkap layar sebaik sahaja gambar tersebut dihantar kepadanya melalui pesanan Whatsapp.






























