PETALING JAYA: Kerajaan bakal membentangkan rang undang-undang (RUU) mengenai Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) pada akhir tahun ini
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, RUU tersebut antara daripada dua pertimbangan kerajaan melalui pembangunan rangka kawal selia CCUS yang komprehensif dan holistik.
Menurut beliau, ia selepas mengambil kira penyelarasan dalam pelaksanaan, keupayaan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dan kaedah pengurusan risiko dan liabiliti.
“(Ia) untuk membolehkan tadbir urus setiap aspek di sepanjang rantaian nilai CCUS, iaitu pemerangkapan, pengangkutan, penggunaan dan penyimpanan karbon dioksida (CO2). Aktiviti penyimpanan CO2 akan terlebih dahulu menumpukan pada penyimpanan di kawasan luar pesisir sebelum dilaksanakan di kawasan daratan.
“Kesesuaian penyimpanan CO2 di kawasan daratan akan tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan yang akan dijalankan kelak. RUU CCUS ini akan ditadbir oleh badan kawal selia di peringkat Persekutuan bersama-sama dengan badan teknikal yang kompeten,” katanya di dalam satu kenyataan, kelmarin.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, kerajaan komited untuk mengorak langkah ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampan.
Jelasnya, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sudah meletakkan asas bagi Malaysia dalam menagani trilemma tenaga iaitu jaminan bekalan tenaga, akses kepada bekalan tenaga dan kelestarian alam sekitar.
“Antara penyelesaian yang digariskan dalam NETR ialah mengiktiraf CCUS sebagai salah satu daripada 6 pemacu peralihan tenaga dan Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) untuk industri pula telah dikenal pasti sebagai antara 10 projek dan inisiatif flagship di bawah NETR yang boleh menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu negara.
“Kementerian Ekonomi pada hari ini membentangkan memorandum kepada Jemaah Menteri untuk menetapkan hala tuju penyediaan rangka kawal selia pelaksanaan initiatif CCUS yang komprehensif dan holistik bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan di Malaysia,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kerajaan juga mempertimbangkan untuk melakukan perjanjian dua hala bagi meletakkan Malaysia sebagai hab CCS serantau untuk merebut peluang dalam era peralihan tenaga.
“Ini dapat dicapai dengan menyediakan penyelesaian CCUS bersepadu kepada industri yang pertama di rantau Asia Pasifik. Kegagalan merebut peluang ini akan menyebabkan Malaysia perlu menunggu 20 hingga 30 tahun lagi sebelum peluang yang sama muncul semula,” katanya.
Tambahnya, pembangunan industri CCUS di Malaysia akan membantu membuka pelbagai manfaat sosioekonomi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi serta kemajuan dalam teknologi dan inovasi baharu.
“Projek CCUS dilihat dapat menjadi penghubung penting dalam peralihan kepada ekonomi kitaran seperti pengeluaran bahan api sintetik berasaskan CO2 (e-methanol), kosmetik, gentian karbon, konkrit terawat dan pengeluaran mikroalga
“CCUS adalah asas untuk membantu Malaysia membina paradigma ekonomi baharu untuk masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan.
“Pada masa yang sama, ia membolehkan Malaysia mengimbangi kepentingan ekonomi dan mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050, dengan hasrat ke arah peralihan yang adil untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.






























