Dr. Jeffrey ketika memberikan ucapannya.- JaPen Sabah
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, Kerajaan Negeri mengambil pendirian menolak pelaksanaan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Sabah.
Beliau berkata Kabinet Negeri telah menbincangkan tentang JKDM secara informal dan ia akan secara formal menolak pelaksanaannya di Sabah.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri juga akan menyampaikan pendiriannya terhadap isu ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau tiba di Sabah untuk merasmikan penutupan Pesta Kaamatan 2024 pada 31 Mei.
“Kerajaan Negeri telah membincangkan tentang JKDM secara informal.
“Saya sendiri sebagai wakil Kerajaan Negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia (MA63) telahpun meminta supaya ini tidak dilaksanakan di Sabah, kerana ia tidak dilaksanakan di Sarawak. Biarlah ini hanya dilaksanakan di Semenanjung.
“Sebab di Sabah, kita sudah ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kita sendiri, takkan kita mahu tubuh satu lagi kerana nanti ia bukan hanya akan mengelirukan rakyat tetapi juga memecah belahkan masyarakat kita.
“Sedangkan masyarakat kita sekarang hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
“Jadi kita (Kerajaan Negeri) menolak dan kita akan menolak secara formal. Kita juga akan menyampaikan pendirian Kerajaan Negeri terhadap isu ini apabila Perdana Menteri datang ke Sabah pada 31 Mei,” katanya pada sidang media yang diadakan sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 di Wisma Pertanian Sabah, di sini, hari ini.


































