PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki yang cuba menceroboh Istana Negara di Jalan Sultan Abdul Halim di sini, bersama sebilah parang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.40 petang itu, sebuah kereta Perodua Kembara yang cuba memasuki Pintu 3, Istana Negara atas tujuan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong ditahan anggota polis.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek turut menemukan sebilah parang.
“Susulan itu, pihak polis menahan dua lelaki berusia 29 tahun dan 37 tahun. Hasil ujian saringan awal air kencing suspek adalah negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mulai 18 sehingga 21 Mei ini bagi tujuan siasatan lanjut.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Justeru, pihak polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti,” katanya.






























