Saifuddin Nasution Ismail
JOHOR BAHRU: Suspek yang bertindak menyerang Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi semalam adalah individu yang bertindak bersendirian dan tidak terlibat dengan agenda mana-mana kumpulan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, suspek bertindak demikian dipercayai didorong oleh motivasi yang difahaminya.
Katanya, perkara itu disahkan setelah siasatan secara menyeluruh dan penemuan-penemuan bukti termasuk selesai menemubual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan itu.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek adalah lone wolf, bertindak sendirian, dia didorong oleh motivasi yang difahami, ini kerana dia ini tak bercampur orang.
“Oleh kerana itu kita boleh buat kesimpulan awal ini yang penyerang ini bertindak sendirian. Ia terpisah daripada satu misi besar atau kumpulan terancang, itu tak ada,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.
Saifuddin Nasution berkata, polis sudah mengambil keterangan ke atas 46 individu bagi membantu siasatan kes serangan berdarah ke atas Balai Polis Ulu Tiram.
Katanya, individu yang diambil keterangan itu disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan fahaman Jemaah Islamiyah (JI) atau sebaliknya.
Katanya, kesemua mereka telah dilepaskan setelah diambil keterangan.






























