Hajiji bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Ellron bergambar bersama para jemputan dan belia yang menghadiri majlis perasmian Karnival Belia Sabah 2024.
KOTA KINABALU: Karnival Belia Sabah yang berlangsung selama 19 hari sehingga 26 Mei memfokuskan kepada 10 komuniti.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, 10 komuniti yang difokuskan dan disantuni adalah;
i. Komuniti Aktif; Komuniti yang menjurus kepada aktiviti sukan dan lasak.
ii. Komuniti Ekspresi; komuniti yang menjurus kepada minat dan kecenderungan semasa bagi menunjukkan minat mereka terhadap sesuatu, dan juga yang berkaitan dengan hobi.
iii. Komuniti Bumi Hijau; komuniti yang mempromosi pemuliharaan alam sekitar dan memberikan kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar.
iv. Komuniti Agro; komuniti yang memperkenalkan kepentingan agrokultur untuk membantu satu komuniti bagi meningkatkan lagi sosioekonomi.
v. Komuniti TVET; komuniti yang mempromosikan kepentingan kemahiran bagi sebuah komuniti belia.
vi. Komuniti Niaga; komuniti yang mengumpulkan usahawan belia untuk bertukar fikiran dan bekerjasama dalam perniagaan.
vii. Komuniti Digital; komuniti yang mempromosikan pengetahuan tentang digital dan teknologi.
viii. Komuniti kerjaya; komuniti yang mempromosi peluang pekerjaan kepada para belia
ix. Komuniti Relawan; komuniti yang menjurus dan menggalakkan kepada aktiviti kesukarelaan kepada para belia dan masyarakat.
x. Komuniti Bakat; komuniti yang menyerlahkan lagi bakat dan potensi belia Sabah.
Dengan adanya 10 komuniti ini sebagai pengisian program, beliau berharap agar ianya dapat membantu membina keintelektualan, kepimpinan, kesukarelawan, keyakinan dan kecekalan para belia dalam membantu Kerajaan Negeri dan Pesekutuan untuk sama-sama membangun negeri dan negara, dengan menyumbang semula tenaga, fikiran dan kudrat kepada negeri.
“Kerajaan Negeri amat mengambil berat atas jasa dan sumbangan golongan belia di negeri ini. Sememangnya sumbangan yang diberikan oleh golongan belia dapat memberikan kesan positif di dalam jati diri warga Sabah melalui program kepimpinan dan kesukarelawanan.
“Maka, atas pertimbangan ini, satu program khusus iaitu Program Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sabah menjadi platform kepada kerajaan untuk memberikan pengiktirafan kepada golongan belia.
“Program ini diusahakan bersama di antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah dengan menyediakan kategori yang sesuai untuk pengiktirafan ke atas usaha golongan belia yang banyak menyumbang tenaga kerja, khidmat dan kepakaran diri dalam pembangunan belia.
“Pada tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan Sabah sekali lagi telah menambah peruntukan sebanyak RM20,000.00 untuk tambahan hadiah Wang Tunai kepada pemenang yang berjaya,” katanya ketika berucap pada perasmian Karnival Belia Sabah 2024 bertemakan “Yakin Boleh, Belia Sabah Maju Jaya” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyempurnakan perasmian karnival ini.
Ellron turut berterima kasih kepada Ketua Menteri yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk mentadbir dan menguruskan belia Sabah, dengan memberikan peruntukan yang sewajarnya, dengan tambahan pada tahun ini, iaitu sebanyak RM 38.03 juta tambahan menjadikan jumlah sebanyak RM 131.2 juta bagi perbekalan dan pembangunan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 23.84 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai program pemerkasaan belia termasuklah melaksanakan Karnival Belia Sabah 2024 ini.
Ellron turut menyeru belia Sabah agar bersedia dengan perubahan zaman yang semakin bergerak pantas.
“Belia Sabah perlu bersedia dengan keperluan Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0), dengan memperbanyakkan upskilling dan reskilling kemahiran yang ada, agar dapat bersaing dengan para belia di luar sana dengan meneroka peluang yang lebih luas, bukan sahaja di Sabah, bahkan merentas seluruh negeri di Malaysia, dan juga negara jiran kita, Brunei, Indonesia dan Filipina (Rantau BIMP-EAGA).
“Belia Sabah juga perlu seiring membangun bukan sahaja upskilling dari sudut kemahiran dan keilmuan, bahkan perlu upskilling dari sudut sahsiah dan adab, agar kita mampu membangun Sabah Maju Jaya, yang majunya bukan sahaja bersifat fizikal dan infra, bahkan majunya berbentuk adab, kaya dengan sopan santun dan keramahan, kerana itulahy sifat dan sikap yang ada pada orang Sabah,” katanya.






























