Ewon melancarkan Program Memasyarakatkan Belia dan Beliawanis Berkoperasi sempena sambutan Kaamatan Madani, di Dewan Masyarakat Kg. Piasau, di sini, hari ini.
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menjadikan Pelan Pembangunan Kadamaian (2020-2035) sebagai inspirasi untuk melaksanakan Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, bermula tahun ini.
Beliau berkata, sebelum ini Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tidak pernah membina gerai-gerai atau tamu-tamu desa, hanya memberikan pembiayaan melalui agensi-agensi kementerian.
“Tetapi dalam Pelan Pembangunan Kadamaian, jelas dinyatakan keperluan membina lebih banyak ruang niaga. Saya merujuk kepada Pelan Pembangunan Kadamaian, inspirasi rakyat itu, saya jadikan sebagai polisi kementerian dan kembalikan semula kepada rakyat yang memerlukan keperluan itu,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Memasyarakatkan Belia dan Beliawanis Berkoperasi sempena sambutan Kaamatan Madani, di Dewan Masyarakat Kg.Piasau, di sini, hari ini.
Pelan Pembangunan Kadamaian dilancarkan pada 2020 kini menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di Kadamaian.
Kajian Pelan Pembangunan Kadamaian itu melibatkan 74 buah kampung di Kadamaian dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) selama enam bulan dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud dan Pejabat ADUN Kadamaian semasa Ewon menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
“Ia kini menjadi panduan kepada saya sebagai wakil rakyat untuk merealisasikan aspirasi atau keperluan penduduk kampung.
“Contohnya di Kadamaian, terdapat lebih kurang 13 Tamu Mingguan dan Tamu Komuniti yang digunakan oleh para penjaja dan peniaga kecil-kecilan berniaga sekurang-kurangnya setiap minggu di kampung atau mukim masing-masing.
“Kini, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan penjaja dan penaga kecil-kecilan di seluruh negara saya ingin melihat satu penambahbaikan inisiatif sedia ada.
“Penambahbaikan itu adalah, kita menaiktaraf atau menyediakan ruang tamu niaga yang lebih selesa di kawasan luar bandar,” katanya.
Menyedari keperluan ruang niaga dan permintaan tinggi daripada komuniti penjaja dan peniaga kecil luar bandar, beliau mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Projek Tamu Desa.
“Kalau di kawasan bandar, kemudahan ini disediakan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan tetapi di kawasan luar bandar, saya harus memainkan peranan aktif untuk menyediakan sokongan kepada mereka.
“Selain inisiatif pembiayaan melalui Tekun Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) saya juga melihat keperluan menaiktaraf Tamu Desa.
“Sebab itu saya telah meminta kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan untuk memberikan peruntukan kepada kementerian saya untuk memperkenalkan Projek Tamu Desa,” katanya.
Ewon berkata, sebanyak RM20 juta peruntukan disediakan untuk melaksanakan inisiatif baharu kementerian itu dan daripada jumlah itu RM7 juta disalurkan untuk fasa pertama bagi menaik taraf atau membina 38 buah Tamu Desa yang telah dikenalpasti di seluruh Sabah.
“Antara Tamu Komuniti yang menerima manfaat projek ini ialah Kampung Piasau,” katanya.
Tamu Desa Kg. Piasau dinaik taraf
Sementara itu, Ewon meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk menaik taraf Tamu Mingguan Komuniti Kg.Piasau kepada Tamu Desa.
Beliau berkata, ia adalah satu daripada 38 tamu desa di Sabah yang telah dikenal pasti untuk dinaik taraf pada tahun ini.
“Keperluan menaik taraf tamu komuniti di kampung ini juga antara yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Kadamaian.
“Sebab itu saya menjadikan asas itu untuk memperkenalkan inisiatif baharu di kementerian iaitu Projek Tamu Desa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Piasau, Jolyhame Saran merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya KUSKOP dan Ewon atas inisiatif membantu menyediakan keperluan para penjaja dan peniaga kecil di luar bandar.
“Saya berharap dengan penaiktarafan Tamu Desa ini akan memberikan keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung di Tamu Mingguan Kg.Piasau.
“Selain itu, saya berharap ini akan membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk kampung seterusnya menjadi tarikan baru pelancong di kampung kami,” katanya.
Jolyhame turut berbangga kerana Ewon menjadikan Pelan Pembangunan Kadamaian sebagai inspirasi untuk mewujudkan inisiatif baharu membantu menaik taraf atau membina kemudahan Tamu Desa di kawasan luar bandar.
Mengenai program itu, Ewon menggesa belia di Sabah khususnya di Kadamaian supaya menubuhkan koperasi dan merebut peluang perniagaan melalui e-dagang.
Beliau berkata, setakat ini hanya 14 buah koperasi belia berdaftar di Sabah dengan jumlah perolehan sebanyak RM25,031.
“Oleh itu, saya menegaskan agar lebih banyak koperasi belia didaftarkan tahun ini untuk memberikan kesan positif dan menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Ewon berkata, kementeriannya melalui SKM akan terus memainkan peranan turun padang mendekati masyarakat bagi menyampaikan pelbagai maklumat terkini mengenai peluang-peluang perniagaan yang boleh diceburi oleh koperasi dan insentif kerajaan.
“Ini termasuklah Geran Bantuan Pembangunan Koperasi sehingga RM300,000 dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) sehingga RM30 juta oleh SKM.
“Selain itu, peranan ANGKASA bagi membantu membimbing koperasi dalam Projek Pembangunan Perniagaan juga harus terus dipergiatkan,” katanya.
Pada program itu, SKM turut mengadakan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) atau Jualan Madani Koperasi (JMK) bagi membantu golongan masyarakat B40 menikmati harga barangan 20% lebih murah berbanding harga pasaran.






























