Anwar Ibrahim melawat reruai ketika hadir bagi merasmikan Program Malaysia Kecerdasan Buatan (Al) Nexus 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Kumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memikirkan pendekatan sesuai bagi meningkatkan minat mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana minat anak-anak dalam bidang Sains dan Matematik sudah mulai terhakis dan berkurang.
Justeru, katanya, harus ada gesaan baharu dalam pengajaran supaya anak-anak kembali menaruh minat.
“Perlu kita asaskan kalau tidak, ekosistem kita tidak terbina.
“Kita boleh bicara tentang kecerdasan buatan (AI), tetapi persiapan dari akar umbi dan meningkat ke peringkat tinggi tidak ada,” katanya semasa berucap merasmikan Program Malaysia Kecerdasan Buatan (Al) Nexus 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, semua harus memikirkan bagaimana pendekatan boleh diubah supaya mata pelajaran itu diminati dan tidak membosankan.
“Ini cabaran yang harus kita tangani. Mungkin pendekatan pengajaran melalui AI yang baru, mempesonakan (atau) mengagumkan.
“Tetapi yang pentingnya matlamat harus kembali memberi penekanan supaya sebahagian besar anak-anak kita menguasai matematik dan sains asas,” katanya.































