KOTA KINABALU: Rakaman video tular di media sosial baru-baru ini yang menunjukkan kawasan di sekitar Pantai Tanjung Aru 1 dicemari sampah sarap adalah merupakan kawasan milik persendirian, dan bukan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, video yang tular dengan paparan tajuk “DBKK Dapat Anugerah Rasuah?” telah dimuat naik dan dimanipulasi dengan dakwaan yang sama sekali tidak benar berhubung syarikat lantikan DBKK yang diberi tanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembersihan pantai di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.
“Tindakan pembersihan dan menjaga keteraturan kawasan Pantai Tanjung Aru 1 adalah terletak di bawah tanggungjawab DBKK. Manakala Tanjung Aru Eco Development (TAED) Sdn. Bhd. adalah bertanggungjawab untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan keteraturan persekitaran di Pantai Tanjung Aru 2 dan Pantai Tanjung Aru 3.
“Walau bagaimanapun, hasil pemeriksaan tapak telah mendapati bahawa kawasan yang ditularkan dalam rakaman video tersebut merupakan sebahagian kawasan pantai di bawah seliaan Tanjung Aru Eco Development (TAED) Sdn. Bhd.
“Sebagai makluman, pihak DBKK telah melantik sebuah syarikat tempatan bagi membantu DBKK dalam mengawal selia tahap kebersihan pantai dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu. Syarikat ini telah memulakan kontrak kerja-kerja pembersihan pantai sejak 1 Ogos 2022. Laporan prestasi penyampaian perkhidmatan syarikat tersebut adalah memuaskan sehingga ke peringkat ini dan syarikat dilaporkan sentiasa mematuhi jadual pembersihan yang ditetapkan DBKK.
“Skop kawasan penugasan yang diberikan kepada syarikat ini merangkumi kawasan Pantai Tanjung Aru (Bermula daripada bangunan Kinabalu Yacht Club sehingga tembok Shangri-La Tanjung Aru, Pantai Tanjung Lipat, perangkap sampah berhampiran IMAGO Shopping Mall, perangkap sampah Omega, perangkap sampah Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pantai di muara Sungai Likas, pantai bersebelahan Anjung Senja dan pantai Kampung Kabel, Tanjung Aru.
“DBKK menyangkal tuduhan tidak berasas pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa bahawa DBKK telah melantik syarikat kroni untuk kerja-kerja pembersihan pantai yang telah menyebabkan ia menjadi tidak terurus. DBKK berharap agar setiap kenyataan yang disiarkan oleh mana-mana individu awam wajar disemak dan dibina berdasarkan semakan fakta yang tepat,” kata kenyataan itu.
Pada masa sama, DBKK turut mengalu-alukan sebarang saranan dan cadangan penambahbaikan ke arah pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu yang bersih dan lestari.
Sebarang aduan dan cadangan boleh dikemukakan ke Hotline Aduan DBKK di 088-313991 atau WhatsApp Hotline DBKK di talian 012-2220220.
































