PATI warga Filipina yang diusir keluar ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan Rabu.-Ihsan Imigresen Sabah.
KOTA KINABALU: Seramai 2,013 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui program pemindahan tahanan PATI sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan dihantar pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan udara.
Beliau berkata, penghantaran terbaharu dilakukan Rabu yang melibatkan pengusiran 226 orang tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Sandakan.
Kesemua 226 tahanan yang dihantar pulang itu berusia antara dua hingga 73 tahun yang melibatkan 209 dewasa lelaki dan perempuan serta 17 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu/bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina.
“PATI yang terlibat pada kali ini adalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Sandakan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Menurut Sitti Saleha, kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Kata beliau, hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.
































