Ellron (kiri) melakukan upacara menuai padi sebagai gimik perasmian.
KENINGAU: Hampir 1,000 orang daripada sekitar Mukim Tiulon hadir pada Pesta Kaamatan Mukim Tiulon di Dewan Kampung Rancangan Belia Tiulon, Sook, dekat sini, kelmarin.
Ia dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin yang juga ADUN Sook.
Ellron berkata, sambutan Kaamatan peringkat daerah kecil Sook kali ini amat berbeza berbanding tahun sebelumnya yang mana Pesta Kaamatan akan diadakan di peringkat mukim terlebih dahulu dan akan ditutup tirainya dalam acara kemuncak Pesta Kaamatan peringkat daerah kecil Sook di Dewan Masyarakat Sook pada 19 Mei ini.
“Pesta Kaamatan peringkat daerah kecil Sook tahun ini ada kelainan sedikit, yang mana sambutan Kaamatan dimulakan di peringkat mukim dahulu dan seterusnya diadakan di peringkat daerah kecil Sook sebagai penutup tirai,” katanya
Beliau berkata, Pesta Kaamatan peringkat mukim ini amat penting bagi membolehkan ia juga dapat dirasai segenap lapisan masyarakat di setiap kampung dalam mukim.
Di samping itu katanya, perayaan ini yang diadakan di peringkat mukim juga akan menyuburkan lagi semangat Kaamatan dalam kalangan generasi muda Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) menerusi penglibatan mereka dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan seperti Sugandoi, Unduk Ngadau dan sukan tradisi (tarik tali, gusti lengan dan melastik).
Selain itu, melihat kepada sambutan Kaamatan yang begitu meriah dengan kehadiran warga kampung yang ramai, beliau mengharapkan agar Pesta Kaamatan peringkat mukim ini diteruskan untuk tahun-tahun mendatang agar supaya rakyat akar umbi dapat menyertai dan melibatkan diri dalam perayaan ini.
Pesta Kaamatan peringkat mukim juga diadakan antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat kampung untuk melibatkan diri dan mengurus sesuatu majlis ataupun sambutan dengan lebih efisien dan efektif.
“Saya melihat pemimpin-pemimpin di akar umbi kurang arif mengenai pengurusan sesuatu program dan majlis, oleh itu penglibatan acara sebegini akan mendidik mereka untuk mengurus sesuatu program dan acara lebih baik,” katanya.
Dalm perkembangan lain, mengenai kelulusan daerah kecil Sook kepada daerah penuh, beliau berharap warga Sook dapat bersama-sama dengannya untuk menjayakan perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti.
































