Anwar Ibrahim
GEORGE TOWN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penjawat awam yang bermasalah serta mempunyai isu disiplin bahawa mereka berkemungkinan besar tidak akan menerima kenaikan gaji secara automatik.
Menurut Utusan Malaysia, Anwar berkata, hal ini demikian kerana, kenaikan gaji tersebut perlu dilaksanakan secara reformasi dari segi tahap perkhidmatan, tahap efisien serta keupayaan mereka untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing.
“Sekarang ini ikut tahun (kenaikan gaji). Kadang-kadang orang itu lembap bekerja, dia tidak hadir, ada masalah disiplin tetapi, terus dinaikkan gaji secara automatik juga.
“Jadi, kita ingin ingatkan bahawa mungkin (berlaku kenaikan gaji) tidak secara automatik. Mungkin 95 peratus (naik gaji), tetapi empat atau lima peratus yang lembap atau ada masalah kita akan perkenalkan kaedah supaya dinafikan (kenaikan gaji).
“Perkara ini akan diumumkan sekaligus dengan sistem persaraan supaya pemilihan (kenaikan gaji) itu berdasarkan prestasi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini hari ini.
Anwar sebelum ini mengumumkan bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah tidak adil kepada penjawat awam yang bekerja bersungguh-sungguh kerana mereka yang malas serta lembap dalam melaksanakan tugas turut mendapat kenaikan gaji yang sama.
Dalam perkembangan lain, Anwar meminta agar agensi atau kementerian berkaitan melatih golongan muda untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam bidang itu.
Beliau berkata, golongan muda yang berminat termasuk mereka yang belajar di maahad tahfiz diberi pendedahan mengenai bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, Anwar berkata, latihan berkaitan AI dan TVET mesti memberi peluang kepada semua penduduk di setiap kawasan bagi mengelakkan perbezaan keupayaan antara kawasan bandar dan pedalaman.
“TVET harus ditingkatkan untuk memenuhi (permintaan pelabur) seperti tiga atau empat hari lalu, kita ada Microsoft yang melabur RM10.5 bilion dan ini memerlukan puluhan ribu pekerja.
“Kalau pelaburan itu melibatkan semua ekosistem maka ratusan ribu pekerja harus dilatih. Apakah kita ada keupayaan itu,” katanya.






























