Ellron (tengah) bergambar bersama-sama dengan peserta Sugandoi.
KOTA KINABALU: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Putrajaya, dengan kerjasama Spirit of Sabah (SOS) telah menganjurkan Malam Sugandoi dan Mini Konsert Kebudayaan, sempena Sambutan Pesta Kaamatan peringkat KDCA Putrajaya 2024 di Cyberview Resort & Spa, Putrajaya, malam tadi.
Ia dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang berkata, penganjuran pertandingan Sugandoi yang merupakan antara acara yang dinanti-nantikan setiap kali musim Kaamatan bukan sahaja oleh warga KDMR malah seluruh rakyat berbilang bangsa di Malaysia, jelas membuktikan bahawa perbezaan dan kepelbagaian budaya bukanlah penghalang untuk meningkatkan semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
“Setiap bait-bait lirik lagu, walaupun dinyanyikan dalam pelbagai bahasa atau dialek ibunda, tidak menghalang kita untuk cuba memahami adat dan budaya setiap suku dan etnik yang ada di tanah air kita.
“Perkara ini merupakan kunci kepada kehidupan masyarakat berbilang kaum yang dinamik dan progresif, serta perlu dikekalkan demi keamanan dan keharmonian penduduk di negara ini. Oleh sebab itu, kita sebagai “orang Sabah” perlu menjadi contoh terbaik dalam menggalakkan perpaduan antara kaum,” tambahnya.
Katanya, penganjuran buat pertama kalinya Mini Konsert kebudayaan dengan kerjasama SOS pada malam tersebut yang turut menampilkan ramai artis kelahiran Sabah dan bakat-bakat baharu sudah semestinya akan membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk lebih dikenali oleh seluruh masyarakat.
“Saya berharap dengan adanya acara seperti ini, kita mampu untuk mengembangkan lagi industri musik kita agar dapat menembusi industri mainstream terutamanya di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Ellron dan Hannah menyaksikan pertandingan Sugandoi.
Beliau berbangga kerana dapat melihat bakat-bakat baharu yang terdiri daripada ramai anak muda yang akan menonjolkan kepelbagaian persembahan kebudayaan dan kesenian tradisi yang dipilih daripada tidak kurang lebih 35 etnik dan 217 sub-etnik di Sabah.
Beliau amat percaya dan yakin bahawa penganjuran program sebegini merupakan salah satu cara terbaik bagi meneruskan tradisi kebudayaan dan kesenian, serta dapat menjadi menjadi kunci dalam memelihara hubungan silaturahim.
Katanya, kepelbagaian budaya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melihat perbezaan, tetapi ia adalah suatu kekuatan yang perlu diteruskan demi generasi akan datang.
“Melalui penganjuran acara sebegini juga, masyarakat dari luar Sabah dapat dapat mengenal keunikan serta memahami budaya tempatan di Sabah. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua terutamanya golongan anak muda agar mengambil tahu tentang kebudayaan kaum masing-masing serta berkongsi kepada kawan-kawan yang bukan berasal dari Sabah tentang adat dan budaya kita demi meningkatkan kefahaman dan toleransi.”
Ellron yang juga ADUN Sook, turut gembira melihat penglibatan dan sokongan pelbagai pihak dalam menjayakan Malam Sugandoi dan Mini Konsert Kebudayaan ini.
Mengucapkan syabas dan terima kasih kepada badan-badan korporat, agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam program ini, beliau berharap usaha ini diteruskan lagi di program-program yang akan datang bagi menjamin kelestarian tradisi masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
“Semoga Malam Sugandoi dan mini Konsert Kebudayaan ini memberikan kenangan terindah kepada KDCA Putrajaya kerana berjaya meletakkan seni dan budaya tempatan Sabah pada tahap yang amat membanggakan.
“Saya berharap agar acara seumpama ini akan terus menjadi pemangkin semangat dan inspirasi kepada warga KDMR untuk terus bersatu memantapkan perpaduan bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran masyarakat, khususnya di Putrajaya.
“Jadikanlah perayaan ini sebagai landasan dan ruang di mana semua lapisan masyarakat dapat berkumpul dan menghayati nilai-nilai keamanan dan keharmonian,” katanya.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Hannah Yeoh dan Pengerusi KDCA Putrajaya, Severinus Tukah yang juga Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan KDCA Putrajaya 2024.
































