Siti Bainun
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali atas dua kesalahan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, tiga tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu selepas berpuas hati Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika mensabit dan menghukumnya.
Siti Bainun merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang diputuskan oleh Hakim Izralizam Sanusi pada 3 Mei 2023.
Pada prosiding hujahan 7 Mac lalu, peguam Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan mewakili Siti Bainun selaku perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin yang bertindak sebagai responden.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari dan Jun 2021.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.




























